MBPP seru orang ramai patuh penggunaan zon khas motosikal dan basikal

Admin

GEORGE TOWN – Orang ramai diseru agar mematuhi penggunaan zon khas bagi motosikal dan basikal (bike box) yang disediakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di 19 persimpangan lampu isyarat sekitar bandar George Town.

Ahli Majlis bagi MBPP, Connie Tan Hooi Peng berkata bahawa bahawa terdapat segelintir masyarakat masih belum mempunyai kesedaran tentang pematuhan penggunaan bike box tersebut.

“Jika dapat dilihat di beberapa persimpangan lampu isyarat, terdapat pemandu kereta yang gemar berhenti di dalam ruangan bike box dan melepasi lintasan zebra.

“Dek kecuaian pemandu seperti ini boleh membahayakan keselamatan dijangka pejalan kaki dan pengguna jalan raya selain boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan,” ujarnya sambil menyatakan pematuhan belum lagi mencapai tahap memuaskan dan banyak usaha diperlukan bagi mengatasi masalah tersebut.

CONNIE Tan semasa mendemonstrasi penggunaan bike box yang betul.

Sementara itu, Connie turut menyatakan bahawa beberapa kerja penyelenggaraan akan dijalankan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan pengguna jalan raya di kawasan pulau.

“MBPP sedang di dalam proses menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan bagi semua bike box sedia ada dan akan menambah bilangan kemudahan ini secara berfasa.

“Oleh itu, diharapkan penunggang motosikal dan basikal dapat menggunakan bike box ini dengan baik serta mendapat kerjasama daripada pemandu kereta untuk berhenti di luar kotak,” jelasnya semasa sidang media yang diadakan di Komtar baru-baru ini.

ANTARA penunggang motosikal yang berhenti di kotak bike box sekitar Jalan Macalister.

Di samping itu, MBPP turut melancarkan sebuah video kesedaran yang memaparkan selebriti komedi terkenal tanah air agar dapat mempengaruhi masyarakat untuk lebih mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Pihak MBPP turut mengambil pendekatan menyampaikan mesej kesedaran ataupun Public Service Announcement (PSA) dengan menggunakan khidmat selebriti komedi terkenal iaitu Mamak Puteh atau nama sebenarnya Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad.

“Justeru, diharapkan video PSA ini mendapat sambutan serta memperoleh nilai kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya agar lebih mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelak risiko kemalangan,” tambahnya lagi.

Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: LAW SUUN TING