MBPP terus cari penyelesaian terbaik lega trafik

BUKIT GELUGOR – Dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah kesesakan lalulintas di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melaksanakan tujuh projek penambahbaikan aliran lalulintas dengan kos berjumlah RM73.4 juta.

Tujuh projek dimaksudkan adalah menaiktaraf persimpangan Lebuhraya Thean Teik – Lorong Batu Lanchang; menaiktaraf Jalan Air Itam di bahagian Jalan Masjid Negeri, Jalan Scotland dan Jalan Air Itam; menaiktaraf Jalan Gottlieb dan sebahagian Jalan Bagan Jermal; menaiktaraf Lorong Batu Lanchang; menaiktaraf sebahagian Jalan Bagan Jermal – Jalan Mount Erskine dan sebahagian Jalan Masjid Negeri antara Bulatan Udini dan Jalan Delima.

Perkara tersebut dinyatakan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail pada Majlis Perasmian Menaiktaraf Sebahagian Jalan Masjid Negeri di antara Bulatan Udini dan Jalan Delima di sini baru-baru ini.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian berkenaan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, & Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut & Keretapi), Lim Hock Seng; Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun; Ahli-ahli Majlis MBPP dan wakil-wakil jabatan MBPP.

Patahiyah menjelaskan, semua projek menaiktaraf dan penambaikan itu turut merangkumi sebuah projek lain yang masih dalam pelaksanaan dan dua projek lagi di peringkat panggilan tender yang bernilai RM50.8 juta selaras dengan Rancangan Strategik MBPP 2011-2015 .

“Pastinya, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), MBPP sentiasa peka dan prihatin terhadap keperluan serta isu-isu berkaitan lalulintas di negeri ini.

“Oleh sebab itu, kita (MBPP) berterusan mencari penyelesaian terbaik dalam melegakan kesesakan lalulintas dan kita (MBPP) sedang dalam penyediaan tender bagi fasa seterusnya yang dijangka bermula Ogos depan dengan melibatkan kos sebanyak RM17.3 juta,” katanya yang turut menerima maklum balas positif daripada pengguna jalanraya secara umum.

Patahiyah dalam pada itu memberitahu, beliau yakin dengan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri dan MBPP bahawa lebih banyak peruntukan dapat disediakan bagi projek- projek menambahbaik aliran trafik serta pengangkutan awam bagi manfaat semua warga Pulau Pinang ke arah sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa.

“Dalam jangkamasa panjang, Kerajaan Negeri dan MBPP telah merancang untuk melaksanakan Projek Pembinaan by-pass dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Air Itam dan menambahbaik aliran trafik di sepanjang Jalan Masjid Negeri dengan anggaran kos RM1.04 bilion dan dijangka siap menjelang tahun 2019.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri turut mengadakan panggilan tender terbuka bagi Projek Pembinaan dan Penyambungan Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong dari Lebuhraya Thean Teik ke Lebuh Bukit Jambul dengan melibatkan kos RM230 juta dan siap pada 2018,” jelasnya.

Sebelum hari perasmian berkenaan, Kon Yeow turut hadir melawat kerja-kerja akhir naiktaraf jalan berkenaan, sambil menerangkan beberapa punca masalah kelewatan.

“Antara kerja-kerja yang menjadi punca kelewatan selama 17 bulan adalah pemindahan pokok-pokok dan penempatan utiliti.

“Masalah kedua yang timbul adalah keengganan beberapa pemilik utiliti menanggung kos pemindahan,” ujar beliau.

d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);