MBPP teruskan tradisi sumbang beras hargai kakitangan

GEORGE TOWN – Sejumlah 1,200 kampit beras masing-masing diedarkan kepada kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hasil sumbangan Ahli-ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

Bercakap pada majlis berkaitan, Ahli Majlis merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Ong Ah Teong berkata, sumbangan tersebut merupakan tradisi tahunan kali kelima hasil inisiatif khas Ahli-ahli Majlis bagi membantu meringankan beban serta menghargai sumbangan kakitangan-kakitangan am MBPP.

“Sumbangan ini adalah sebagai menghargai penat lelah mereka yang telah bersusah payah bekerja menjaga kebersihan dan keselamatan negeri.

“Tambahan, pemberian ini walaupun tak seberapa, tetapi ia diharap akan meringankan beban pekerja beragama Hindu yang meraikan perayaan Deepavali,” katanya ketika ditemui pada majlis berkaitan di sini.

Hadir sama, Ahli Majlis, Joseph Ng Soon Siang dan Lim Boon Beng. Sejumlah 1,000 kampit beras diagihkan kepada kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) dan Bahagian Perlesenan serta Bahagian Penguatkuasaan MBPP.

Dalam pada itu, bagi salah seorang pekerja di JPP yang hanya mahu dikenali sebagai Mathavan, 45, beliau melahirkan perasaan gembira dan berterima kasih di atas keprihatinan Ahli-ahli Majlis MBPP.

“Terima kasih bagi beras. Ni ialah bukti MBPP menjaga pekerja bawahan seperti kami tanpa mengira kaum.

“Seronok bekerja dengan Majlis (MBPP), sebab kami sama-sama jaga (bersihkan) Pulau Pinang,” ujarnya yang telah menabur khidmat selama empat tahun kepada Buletin Mutiara di sini.