MBPP tingkat pemantauan umum buang sampah merata-rata

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini giat mempertingkatkan pemantauan di lokasi-lokasi hotspots yang dikenal pasti menjadi tempat pembuangan sampah haram.

Ahli Majlis MBPP, Ong Ah Teong berkata, lanjutan itu, Majlis telah menempatkan sembilan kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih bagi memantau kawasan-kawasan yang banyak menerima aduan tindakan sedemikian.

“Selain pemantauan melalui CCTV, kita (MBPP) juga melakukan operasi di tapak iaitu sekiranya mana-mana individu didapati membuang sampah sewenangwenangnya, penguatkuasa bertugas akan mengeluarkan kompaun berjumlah RM250 kepadanya,” jelasnya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP pada sidang media di sini baru-baru ini.

Sembilan kawasan tersebut adalah di Jalan Burma, Lebuh China (Little India), Jalan Bahagia Bayan Baru, Jalan Teluk Tempoyak, Lintang Batu Maung 1, Lorong Batu Maung 8 Kampung Masjid, Lintang Beringin 7, Lintang Beringin 10 dan Jalan Damar 3 Taman Sri Bayan.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis Ahmad Azrizal Tahir, Goh Choon Keong dan Tan Chiew Choon.

Difahamkan, sejak Februari lalu, sebanyak 22 kompaun telah dikeluarkan MBPP atas kesalahan membuang sampah dan 10 daripadanya telah menjelaskan saman masing-masing.

Mengulas lanjut, Ah Teong memberitahu, MBPP kini giat memperketatkan tahap kebersihan terutamanya di kawasan tapak warisan George Town dan lokasi-lokasi tumpuan pelancong.

“Kita juga telah menubuhkan pasukan Anti Litter yang terdiri daripada lapan penguatkuasa untuk melakukan pemantauan di kawasankawasan berkaitan.

“Penguatkuasaan bersepadu ini akan melipatgandakan operasi untuk menangkap kutu-kutu sampah sebagai pengajaran kepada mereka supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut,” ujarnya.

SALAH seorang kakitangan MBPP sedang
memantau aktiviti pembuangan sampah
haram menerusi skrin rakaman CCTV di blik
kawalan khas di sini.