Sertai gotong-royong cegah denggi, seru Ahli Majlis

KEBUN BUNGA – Penduduk di kawasan berpotensi tinggi diserang wabak denggi diminta melibatkan diri dalam aktiviti gotongroyong dan kemasyarakatan yang dianjurkan pelbagai pihak bagi menghapuskan sarang pembiakan nyamuk aedes.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chris Lee Chun Kit berkata, usaha gotong-royong yang dijalankan dapat membantu mencegah pembiakan nyamuk aedes sekaligus membendung penularan wabak demam denggi di negeri ini.

“Walaupun amalan ini sebenarnya sudah lama, namun masih terdapat segelintir masyarakat yang masih ‘liat’ untuk menggerakkan program-program seperti ini.

“Selain membersihkan kawasan sekitar agar tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk, ia juga mampu menghindar penyakit berjangkit lain seperti malaria dan kolera (taun),” katanya selepas merasmikan Program Gotong-Royong Bersama-sama Penduduk Mount Erskine di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Majlis MBPP, Harvinder Singh. Lebih 150 penduduk menyertai program anjuran secara bersama MBPP dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Mount Erskine.

Selain aktiviti pembersihan, penduduk turut meluangkan masa menyediakan juadah makan tengahari secara bergotong-royong.