MBSP anjur Anugerah Circular Economy, tarikh tutup penyertaan 30 Oktober

(Depan, dari kiri) BADERUL Amin Abdul Hamid, Sr. Rozali Mohamud dan Lim Yu Chin semasa acara pelancaran Anugerah Circular Economy di Menara Bandaraya MBSP di sini pagi ini.

SEBERANG JAYA – Kumpulan-kumpulan komuniti dan pengusaha industri di Seberang Perai yang melaksanakan program kitar semula (upcycle), pengasingan sisa organik, pengkomposan, kebun komuniti, jualan hasil dan lain-lain aktiviti yang dikaitkan dengan ‘Circular Economy’ boleh menyertai Anugerah Circular Economy dengan menghantar penyertaan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selewat-lewatnya 30 Oktober ini.

SR. Rozali Mohamud

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa pihak yang ditarafkan Anugerah Lima Bintang akan mendapat RM500 berserta hadiah lain; begitu juga Anugerah Empat Bintang (RM400), Anugerah Tiga Bintang (RM300), Anugerah Dua Bintang (RM200), dan Anugerah Satu Bintang (RM100).

“Anugerah ini adalah terbuka kepada semua komuniti di Seberang Perai yang mana setiap satu kumpulan berjumlah tidak kurang 50 buah rumah manakala bagi pengusaha industri pula tidak kurang daripada 300 orang pekerja.

“Tarikh akhir untuk menghantar laporan ialah pada 15 November 2021 (manakala) penilaian pertandingan akan diadakan pada akhir November 2021, dan keputusan panel juri adalah muktamad,” jelasnya dekat Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 7 Oktober 2021.

Menurut Rozali, tujuan penganjuran pertandingan anugerah itu antara lain bagi menarik minat warga Seberang Perai untuk mengambil tindakan proaktif dengan meneroka model ekonomi baru iaitu ‘Circular Model’ yang berpaksikan penggunaan semula produk dan bahan mentah, mencegah pembaziran serta pelepasan yang bahaya ke tanah, air dan udara.

“Dalam erti kata mudah, ‘Circular Model’ menumpukan untuk meningkatkan kecekapan penggunaan sumber (resource efficiency) dalam memaksimumkan penghasilan produk dan meminimumkan penghasilan sisa buangan,” jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah Urusan ESH Resources Management Sdn. Bhd., Lim Yu Chin yang menaja hadiah-hadiah bagi acara anugerah pada kali ini.

CONTOH pertanian bandar di halaman rumah masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memberitahu bahawa pentadbirannya akan terus mempromosikan pertanian bandar dalam kalangan warga MBSP, dengan memberi penekanan kepada usaha berkebun di halaman rumah.

“MBSP amat mengesyorkan aktiviti berkebun di halaman rumah yang mana penduduk dapat mengendalikan dan mempraktikkan pembuatan kompos daripada sisa makanan di rumah.

“Semasa pandemik COVID-19, MBSP telah mula memperkenalkan pertanian bandar (urban farming), ‘Backyard Gardening’ atau ‘Balcony Gardening’ kepada ‘Wira Oren’.

“Sehingga kini, seramai 82 kakitangan yang terpilih akan diberikan sijil penghargaan, dua pasu dan juga benih sayur,” jelasnya lagi.

Ketua-ketua WHIP parti, P. David Marshel, Ahmad Rizal Abd. Hamid, Muhamad Suzuki Ahmad; Pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid; dan Ketua-ketua Jabatan bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan turut sertai acara ringkas tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR