MBSP anjur pertandingan reka bentuk poster pupuk kesedaran pelajar mengenai kitar semula

Admin

BERAPIT – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) buat julung kalinya menganjurkan pertandingan mereka bentuk poster bagi memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar sekolah mengenai amalan kitar semula.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud percaya bahawa program tersebut mampu menyemai perubahan tingkah laku positif secara berterusan kepada para pelajar khsusnya berkaitan kitar semula selaras dengan tema pertandingan iaitu ‘Recycle for a Life Cycle’.

Para pelajar sedang menyiapkan reka bentuk poster.

“Tahun ini (2020) merupakan tahun pertama pertandingan mereka bentuk poster ini diadakan bagi menggantikan pertandingan mereka cipta produk Upcycle yang dianjurkan pada 2018 dan 2019.

“Ini merupakan salah satu kaedah pendidikan dilaksanakan oleh MBSP untuk mencapai kadar kitar semula 70 peratus pada tahun 2022 dan pengurangan sisa sebanyak 50 peratus per kapita.

“Justeru, diharapkan pertandingan ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan penglibatan lebih ramai penaja bagi menjayakan program-program seumpama ini,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian pertandingan berkaitan dekat Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berapit pada 29 Februari lalu.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; Pengurus Korporat Fraser & Neave Holdings Bhd., Cariessa Goh Gaek Hwa; Pengarah Alam Sekitar Tetra Pak Malaysia, Singapura dan Filipina, Terrynz Tan serta Pengetua SMK Berapit, Lim Poh Sew.

Difahamkan, pertandingan mereka bentuk poster berkenaan mendapat tajaan daripada Fraser & Neave Holdings Bhd (FNHB) dan penaja bersama Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd.

Antara pelajar dan guru yang mengambil bahagian.

Sebanyak 20 buah sekolah rendah dan 20 sekolah menengah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut yang diwakili oleh lima orang pelajar dan seorang guru pengiring.

Juara pertandingan berjaya membawa pulang RM500 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing RM400 dan RM300.

Ole : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MBSP