SKMPP sasar 30 peratus rakyat Pulau Pinang anggotai koperasi

Admin

TANJUNG BUNGA – Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia Pulau Pinang (SKMPP), Zakaria Md. Jusoh menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus penduduk Pulau Pinang berdaftar sebagai ahli koperasi.

Jelasnya, ia penting bagi memastikan kira-kira 500,000 penduduk di negara ini mempunyai peluang bagi menjana lebihan pendapatan.

“Daripada 500,000 orang ini, sekiranya kita dapat kumpul RM2,000 syer maka kita akan memperolehi modal syer sebanyak RM1 bilion.

“Dengan jumlah ini pelbagai aktiviti berskala besar dapat dijalankan. Oleh itu, saya memang merancang untuk menjadikan rakyat Pulau Pinang ini sebagai anggota koperasi.

“(Dan) mungkin suatu hari nanti kita boleh tubuhkan koperasi sendiri iaitu Koperasi Rakyat Penang Berhad, (KOPEN).

“Justeru, kita akan pastikan keanggotaan ini mampu meningkatkan taraf hidup mereka,” ujarnya ketika berucap pada Karnival Usahawan Usahawan & Koperasi dan Pengguna Timur Laut dekat Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Tokong semalam.

Hadir sama, Guru Besar SK Tanjung Tokong, Mohd Shukri Din dan Pegawai Sains Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM) Rosman Ahmad.

Jelasnya lagi, usaha mengkoperasikan penduduk sememangnya menjadi tanggungjawab SKMPP khusunya dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Langkah ini mampu membangunkan sosioekonomi rakyat selain dapat mengurangkan kos sara hidup terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah (B40),” ujar Zakaria lagi.

Pada karnival tersebut, jualan barangan keperluan harian turut diadakan dengan tawaran harga yang lebih murah dan tidak ketinggalan juga sumbangan kepada 100 golongan asnaf sekitar Tanjung Tokong.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD