SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) disaran mempertimbangkan pelaksanaan Program ‘Taman Angkatku’ sebagai pendekatan baharu yang lebih progresif, inovatif dan mampan bagi mempercepatkan usaha menaik taraf serta menyelenggara taman awam di seluruh Seberang Perai.
Ahli Majlis MBSP, C. Linggeswaran berkata, cadangan tersebut dikemukakan susulan jumlah taman rekreasi, taman permainan dan kawasan lapang di bawah seliaan MBSP kini mencecah hampir 1,462 lokasi.

Menurut beliau, jumlah tersebut menggambarkan tanggungjawab besar yang perlu dipikul MBSP dalam memastikan setiap taman berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan penduduk.
“Sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, sebanyak 76 kawasan lapang telah berjaya dinaik taraf oleh MBSP melalui pemasangan peralatan permainan baharu, peralatan senaman, laluan pejalan kaki, kerja-kerja landskap serta pelbagai kemudahan sokongan yang lebih mesra pengguna.
“Usaha ini membuktikan komitmen MBSP dalam menyediakan kemudahan awam berkualiti di samping menyokong Aspirasi Penang2030 ke arah sebuah negeri yang lebih hijau, sihat, inklusif dan berdaya huni,” katanya ketika memyampaikan sempena ucapan pengangguhan Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-625 Bilangan 7/2026 dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dan turut dihadiri oleh Setiausaha Bandaraya MBSP, Dato’ Mohd. Ibrahimd. Nor; barisan Ahli Majlis bagi MBSP dan ketua-ketua jabatan MBSP.
Bagaimanapun, Linggeswaran mengakui masih terdapat banyak taman yang memerlukan perhatian, manakala proses menaik taraf semua lokasi akan mengambil masa yang panjang sekiranya hanya bergantung kepada peruntukan tahunan MBSP.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar sektor swasta seperti syarikat korporat tempatan dan antarabangsa, pemaju perumahan, syarikat perindustrian, pasar raya, hotel, institusi kewangan serta syarikat yang beroperasi di Seberang Perai diberi peluang bekerjasama dengan MBSP menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Jelas beliau, konsep berkenaan bukanlah sesuatu yang baharu kerana telah berjaya dilaksanakan di beberapa bandar utama dunia seperti Singapura, Melbourne, London dan New York menerusi inisiatif ‘Adopt-a-Park’, tanpa menjejaskan tanggungjawab pihak berkuasa tempatan.
“Kerjasama ini bukan bermaksud menyerahkan tanggungjawab MBSP kepada pihak swasta, sebaliknya merupakan perkongsian strategik yang menggabungkan kekuatan sektor awam dan swasta bagi mempercepatkan penyediaan kemudahan awam berkualiti.
“MBSP akan terus bertindak sebagai penyelaras dan pemantau bagi memastikan semua projek mematuhi spesifikasi teknikal, piawaian keselamatan serta dasar yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata, syarikat yang menyertai program berkenaan boleh membantu membina atau menaik taraf taman permainan, menyediakan peralatan senaman, laluan pejalan kaki, sistem pencahayaan, landskap, penanaman pokok teduhan, bangku awam serta penyelenggaraan berkala mengikut kemampuan masing-masing.
Tambah beliau, penyertaan syarikat bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah mampu memperkukuhkan imej korporat serta memenuhi komitmen Environmental, Social and Governance (ESG) yang kini menjadi penanda aras penting di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan MBSP membangunkan Portal Program Taman Angkatku yang memaparkan senarai taman yang boleh diangkat, skop kerja dan anggaran kos bagi memastikan penyertaan syarikat dilaksanakan secara lebih telus, mudah dan sistematik.
Beliau juga mengesyorkan agar program tersebut diperluaskan dengan penglibatan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Rukun Tetangga serta institusi pendidikan menerusi aktiviti gotong-royong, penanaman pokok dan program kesedaran.
“Sebagai penghargaan kepada syarikat yang menyumbang, MBSP boleh mempertimbangkan pemasangan papan penghargaan, pengiktirafan sebagai Rakan Strategik Taman MBSP atau memperkenalkan Anugerah Rakan Strategik CSR MBSP yang diberikan setiap tahun kepada syarikat yang menunjukkan komitmen terbaik.
“Saya juga mencadangkan penggunaan kod QR di setiap taman yang membolehkan orang ramai
mendapatkan maklumat taman, syarikat penaja serta menyalurkan aduan atau cadangan secara
terus kepada MBSP.
“Saya yakin sekiranya program ini bukan sahaja mampu mempercepatkan proses menaik taraf taman-taman awam, malah boleh menjadi model terbaik kepada Pihak Berkuasa Tempatan lain di Malaysia sekiranya berjaya dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: LEE JIA YING