MBSP hantar ‘aset tambahan’ bantu tangani bencana banjir di Selangor

DATUK Bandar MBSP bersama-sama Jagdeep Singh Deo menyantuni para anggota Wira Oren yang bakal digerakkan ke kawasan bencana banjir dekat Selangor tengah hari tadi.

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjelang tengah hari ini menghantar ‘aset tambahan’ berupa 54 orang Wira Oren dan 13 kenderaan berkaitan bagi membantu kerja-kerja menangani bencana banjir besar di negeri Selangor.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo diiringi Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Baderul Amin Abdul Hamid (Setiausaha Bandaraya bagi Pihak Berkuasa Tempatan, PBT) yang menyempurnakan acara pelepasan aset-aset tersebut dalam majlis ringkas di lobi Menara Bandaraya di sini pada 23 Disember 2021.

Semasa berucap, Jagdeep memberitahu bahawa pihaknya berharap semua anggota yang menyertai kumpulan pertama ini senantiasa menjaga keselamatan dan kesihatan masing-masing memandangkan mereka turut terdedah kepada pelbagai risiko penyakit berjangkit di kawasan bencana.

“Kerja-kerja memulihkan keadaan pasca banjir bukan mudah, jadi tolong lah jaga keselamatan dan kesihatan masing-masing sepanjang tempoh bertugas di sana.

“Saya ingin ingatkan seluruh ‘keluarga’ saya iaitu Wira Oren di sini bahawa tugas perlu dilaksanakan tetapi jangan lupa kita masing-masing ada keluarga yang akan menanti kepulangan kita selepas seminggu kumpulan ini ke sana,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ‘Wira Oren’ yang terlibat dalam kerja-kerja pemulihan semula bandar raya Seberang Perai selepas bah besar melanda negeri ini pada awal bulan November 2017.

Sementara itu, Rozali pula memberitahu bahawa kumpulan tambahan yang pertama ini akan terlibat dalam kerja-kerja pembersihan di negeri Selangor selama seminggu sahaja, dan mungkin akan diganti dengan kumpulan kedua jikanegeri itu masih memerlukan bantuan berkaitan pada masa depan.

“Ini kumpulan pertama yang akan ke lapangan selama seminggu, kalau perlu kumpulan seterusnya, kita akan hantar.

“Tetapi kenderaan dan aset-aset yang diperlukan akan dikekalkan di sana sehingga operasi tangani bencana banjir Selangor selesai,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada Ahad lepas (19 Disember 2021) menggerakkan misi bantuan bencana banjir ke Selangor, termasuk sejumlah ‘Wira Oren’ dan kenderaan milik MBSP.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR