MBSP laksana penjimatan dalaman tampung kenaikan kos bahan api

Admin
dsc 7486.jpg

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melaksanakan langkah penjimatan dalaman termasuk pengurangan perbelanjaan sebanyak 10 peratus melibatkan semua jabatan bagi menampung peningkatan kos bahan api susulan krisis bekalan minyak global ketika ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, penggunaan petrol oleh perkhidmatan di MBSP bagi tempoh April hingga Disember 2026 dianggarkan mencecah RM10 juta berbanding peruntukan asal sebanyak RM6 juta dalam Bajet 2026.

Menurut beliau, keadaan geopolitik semasa khususnya konflik di Asia Barat sejak Februari lalu telah menyebabkan MBSP terpaksa menanggung tambahan kos sebanyak RM4 juta.

“Berdasarkan anggaran awal, peruntukan kos petrol MBSP bagi tahun ini adalah sebanyak RM6 juta, namun akibat kenaikan harga minyak dan gangguan bekalan semasa, jumlah itu meningkat kepada kira-kira RM10 juta.

“Justeru, MBSP mengambil langkah penjimatan dalaman dengan mengurangkan perbelanjaan sebanyak 10 peratus melibatkan semua jabatan bagi menampung kos luar jangka tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan sesi Town Hall Dialog Bajet MBSP Tahun 2027 Bersama Ahli Majlis di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP dekat sini sebentar tadi.

dsc 7561.jpg
H’ng Mooi Lye (kiri) bersamasama Baderul Amin Abdul Hamid (kanan) ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sesi Town Hall Dialog Bajet MBSP Tahun 2027 Bersama Ahli Majlis di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya MBSP dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; barisan Ahli Majlis MBSP serta Ketua-ketua Jabatan dan Pegawai Kanan MBSP.

Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata, sebagai contoh Jabatan Kejuruteraan yang sebelum ini dianggarkan membelanjakan sekitar RM30 juta pada tahun ini turut terlibat dalam langkah rasionalisasi tersebut.

Katanya, pengurangan perbelanjaan itu turut dilaksanakan terhadap jabatan-jabatan lain selaras dengan usaha MBSP menyesuaikan pengurusan kewangan mengikut situasi semasa.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Perbandaran memerlukan pendekatan berbeza memandangkan operasi harian jabatan itu melibatkan kos yang tinggi, khususnya dalam pengurusan sisa pepejal.

“Contohnya pengurusan sampah di Pulau Burung yang memerlukan lori mengangkut sampah setiap hari, sekali gus meningkatkan penggunaan bahan api dan kos operasi MBSP,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mooi Lye berkata, MBSP turut menangguhkan beberapa projek yang disifatkan kurang kritikal ke tahun-tahun berikutnya bagi memberi keutamaan kepada projek penting dan mendesak.

Beliau turut memaklumkan bahawa isu kenaikan kos minyak tersebut telah dibangkitkan kepada Perdana Menteri semasa lawatan rasmi beliau ke Pulau Pinang baru-baru ini.

“Perdana Menteri telah mengambil maklum mengenai perkara ini dan akan membawanya ke mesyuarat Kabinet.

“Kita berharap akan ada berita baik daripada Kerajaan Persekutuan berhubung isu ini,” ujarnya.

Tambah beliau, MBSP juga akan mengambil kira faktor kenaikan harga minyak dalam proses penyediaan bajet bagi tahun 2027 kelak.

Beliau turut menyeru kepada Ahli Majlis MBSP agar mengoptimumkan sepenuhnya ruang sesi town hall tersebut untuk mencari penyelesaian terbaik dalam mengimbangi keperluan rakyat dengan kekangannsumber kewangan yang terhad.

“Kita perlu menapis dan memberi keutamaan kepada projek yang memberi impak langsung kepada kecekapan tadbir urus perbandaran.

“Saya yakin melalui kepimpinan Datuk Bandar, Ahli-Ahli Majlis serta komitmen para pegawai, pihak MBSP mampu terus berfikiran kreatif dan inovatif dalam menguruskan sumber yang ada.

“Keutamaan kita sekarang adalah memperkukuh tadbir urus dengan mengamalkan perbelanjaan secara berhemat, tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Baderul Amin ketika berucap sebelum itu menyatakan bahawa MBSP akan memberi tumpuan kepada pendekatan priority-based budgeting pada tahun 2027.

Menurutnya, melalui pendekatan tersebut, keutamaan diberikan kepada projek dan program yang benar-benar memberi impak kepada rakyat serta menyokong pembangunan Seberang Perai secara mampan dan inklusif.

“Kita tidak boleh hanya memikirkan projek-projek yang berskala besar sahaja tetapi juga projek-projek kerjasama dengan agensi swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi berkongsi kos serta memberi impak atau kesan yang lebih efektif dari segi ekonomi masyarakat setempat dan lain-lain,” katanya.

whatsapp image 2026 05 21 at 10.07.51
V.A.S. Ponnudurai.

Dalam pada itu, Ahli Majlis bagi MBSP, V.A.S. Ponnudurai membentangkan beberapa cadangan dan projek yang perlu dilaksanakan pada tahun 2027.

Antaranya ialah projek penurapan jalan Taman Chai Leng di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), membaik pulih padang bola di Taman Inderawasih dan Taman Supreme serta menaik taraf dewan-dewan sedia di kawasan Perai.

“Selain itu, saya turut mencadangkan supaya gelanggang bola keranjang di Taman Emas dan Taman Chai Leng untuk manfaat golongan belia di kawasan berkaitan,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar: MBSP