Kreativiti, kerjasama berpasukan faktor SK Kuala Muda ungguli pertandingan Pelita Upcycle MBSP

Admin
whatsapp image 2026 05 21 at 13.10.40 (1)

SEMANGAT kerjasama berpasukan serta kreativiti luar biasa dalam mengolah bahan terpakai menjadi dekorasi tradisional moden menjadi antara faktor kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Muda dinobatkan sebagai johan Pertandingan Pelita Upcycle Malam Tujuh Likur anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tahun ini.

Kemenangan tersebut telah melayakkan SK Kuala Muda membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 berserta sijil penghargaan.

Guru SK Kuala Muda, AZRAWATI ABDULLAH dan NORIHA AHMAD berkata, kemenangan tersebut cukup bermakna memandangkan pertandingan tersebut merupakan penyertaan kedua sekolah berkenaan selepas pernah meraih tempat keempat pada edisi tahun 2024.

whatsapp image 2026 05 21 at 13.10.38 (1)
Cikgu Nrihan (kiri sekali) bersama-sama Cikgu Azrawati (dua dari kiri) dan murid-murid terlibat yang mengambil bahagian dalam pertandingan Pelita Upcycle Malam Tujuh Likur anjuran MBSP.

Menurut mereka, persiapan bagi pertandingan kali ini dibuat secara kolaboratif melibatkan guru-guru, pentadbir sekolah serta para pelajar.

“Pertandingan ini berlangsung dalam bulan Ramadan, jadi kami mula membuat persiapan seminggu sebelum puasa dengan mengumpulkan bahan-bahan terpakai yang diperlukan.

“Antara bahan yang digunakan dalam projek ini ialah tin terpakai, botol minuman, buku lama dan minyak masak terpakai.

“Malah ada juga warga sekolah yang bermurah hati menyumbang dari segi kewangan bagi menjayakan projek ini,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS ketika sesi wawancara khas di SK Kuala Muda pada 20 Mei 2026.

Mengulas mengenai konsep yang diketengahkan, mereka menjelaskan bahawa elemen pelita tradisional yang sinonim dengan bulan Ramadan dan hari raya digabungkan bersama lampu dan lilin berwarna-warni bagi mewujudkan suasana Aidilfitri yang lebih menarik.

1000393906
Antara karya kreatif yang dihasilkan.

img 20260521 115951 864whatsapp image 2026 05 21 at 13.10.38 (3)whatsapp image 2026 05 21 at 13.10.38 (2)

“Kali ini kami mahu tampil dengan kelainan berbanding penyertaan terdahulu yang lebih memfokuskan pelita buluh semata-mata.

“Kami menggunakan lebih banyak bahan upcycle, selain menggabungkan unsur moden dan tradisional dalam persembahan karya,” katanya.

Tambah mereka lagi, antara tarikan unik yang diketengahkan ialah penggunaan tumbuhan semula jadi seperti pokok kekabu bagi menghasilkan pelita kreatif.

“Ramai yang tidak tahu bahawa buah kekabu sebenarnya boleh dijadikan pelita,” ujar mereka.

Selain dekorasi fizikal, SK Kuala Muda turut menampilkan kelainan menerusi penghasilan video kreatif berbentuk drama pendek bertajuk Pelita Tok Wan berbanding konsep dokumentari yang digunakan sebelum ini.

“Mungkin pendekatan video berbentuk drama pendek ini menjadi salah satu faktor yang membantu kami dipilih sebagai johan,” kata mereka.

Menurut mereka lagi, jika sebelum ini dekorasi lebih tertumpu kepada lukisan bangunan ikonik seperti Jambatan Pulau Pinang, tahun ini pihak sekolah tampil dengan idea lebih tersusun termasuk pembinaan pintu gerbang menggunakan pokok kelapa.

“Karya kami kali ini lebih berfokus dan terancang.

“Dari segi idea kreatif pula diperoleh melalui sesi perbincangan bersama semua guru sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

“Semangat kerja berpasukan inilah yang menjadi kekuatan utama kami,” ujar mereka.

Menyentuh mengenai kos projek, mereka mengakui perbelanjaan agak tinggi terutama bagi pembelian minyak tanah, namun bantuan dan sumbangan warga sekolah berjaya mengurangkan beban kewangan.

Dalam pada itu, mereka turut memuji komitmen para pelajar yang sanggup meluangkan masa selepas waktu persekolahan bagi menyiapkan projek tersebut walaupun berdepan cuaca panas dan menjalani ibadah puasa.

“Ada masanya penggambaran video dilakukan sehingga lewat malam.

“Sepanjang sebulan projek ini berjalan, para pelajar menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi dan tidak mudah berputus asa.

“Segala penat lelah itu akhirnya berbaloi apabila sekolah kami diumumkan sebagai juara,” katanya.

Mengulas mengenai manfaat pertandingan pula, mereka berpandangan bahawa program seumpama itu bukan sahaja dapat mengasah kreativiti pelajar dan guru, malah membantu membentuk keyakinan diri, semangat kerja berpasukan serta penghargaan terhadap nilai warisan dan amalan kitar semula.

“Dalam video yang dihasilkan, kami turut menerapkan nilai murni seperti menghargai barangan terpakai dan memelihara tradisi memasang pelita menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

“Malah, proses penghasilan video yang memerlukan pelajar berlakon dan menghafal skrip turut membantu meningkatkan keyakinan diri mereka,” katanya.

Tambah mereka, penyertaan dalam pertandingan sedemikian juga memberi impak positif terhadap pencapaian murid dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

Pada masa sama, mereka turut merakamkan penghargaan kepada MBSP kerana terus memberi ruang kepada sekolah-sekolah untuk mengetengahkan kreativiti masing-masing menerusi pertandingan tersebut.

“Kami berharap pertandingan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Jika boleh, nilai hadiah kemenangan juga dapat dipertingkatkan memandangkan kos penghasilan projek seperti ini agak tinggi.

“Wang kemenangan yang diterima akan digunakan bagi menambah baik keceriaan sekolah demi keselesaan para pelajar dan guru,” katanya.

Mereka turut menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu lagi pencapaian membanggakan buat SK Kuala Muda.

whatsapp image 2026 05 21 at 13.39.31
Muhammad Harraz Aiman Ahmad Hafizun.

Dalam pada itu, salah seorang pelajar yang terlibat, MUHAMMAD HARRAZ AIMAN AHMAD HAFIZUN, 10, meluahkan rasa bangga apabila SK Kuala Muda berjaya menggondol tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

Muhammad Harraz Aiman menyifatkan penyertaannya sebagai satu pengalaman yang amat menyeronokkan dan berharap dapat menyertai program seumpamanya pada masa akan datang.

“Saya amat gembira kerana dipilih untuk menyertai pertandingan ini.

“Walaupun ada kalanya terasa agak mencabar kerana ia dilaksanakan pada bulan puasa, pengalaman ini sangat berharga dan menyeronokkan,” katanya ringkas.

whatsapp image 2026 05 21 at 13.10.39
Aulia Izatunnisa Johari.

Nada sama turut disuarakan oleh AULIA IZATUNNISA JOHARI, 11, yang berpendapat penyertaannya dalam pertandingan tersebut berjaya meningkatkan kreativiti serta keyakinan dirinya.

“Saya memang sukakan seni, jadi pertandingan ini memberikan pengalaman yang sangat menyeronokkan kepada saya,” katanya.

Seorang lagi pelajar, SOFIA AZZAHRA MOHD. ROSHIDI, 11, turut menzahirkan rasa gembira atas kejayaan SK Kuala Muda dalam pertandingan berkenaan.

whatsapp image 2026 05 21 at 13.10.40
Sofia Azzahra Mohd. Roshidi.

“Sudah tentu saya berasa amat gembira kerana diberi peluang untuk menyertai pertandingan ini.

“Antara momen yang paling sukar dilupakan ialah proses menghasilkan pelita kerana memerlukan kesabaran serta kreativiti tersendiri.

“Namun begitu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.