MBSP lancar Kad Pintar e-Munisasi ganti penggunaan buku suntikan tifoid

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini melancarkan Kad Pintar e-Munisasi bagi menggantikan penggunaan buku suntikan tifoid dalam kalangan pengusaha dan pengendali makanan di seluruh Seberang Perai.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata peralihan yang dilakukan hasil inovasi Jabatan Perkhidmatan Kesihatan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bakal mengubah cara pemeriksaan dan pengesahan vaksinasi secara drastik selain memudahkan penyimpanan, integrasi dan penyelarasan data.

Azhar menyempurkan gimik pelancaran Kad Pintar e-Munisasi.

 

“Kad pintar yang digunakan ini telah diseragamkan dan dilengkapi dengan Kod QR unik untuk sambungan terus kepada Sistem e-Munisasi bagi tujuan pengesahan yang boleh dilaksanakan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.

“Bagi suntikan kali pertama, kad ini akan diperoleh secara automatik tanpa kos tambahan sebaik sahaja pengendali makanan mendaftar dan mendapatkan khidmat suntikan Typhim Vi (jenis vaksin tifoid) di klinik ibu pejabat atau klinik cawangan Kampung Jawa, Butterworth.

“Bagi suntikan yang yang dibuat selepas tamat tempoh sah laku, pengendali makanan hanya perlu membawa kad tersebut untuk diperbaharui,” katanya ketika melancarkan kad pintar berkenaan dekat Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.

Contoh Kad Pintar e-Munisasi yang diinovasikan oleh MBSP.

Turut serta, barisan Ahli Majlis dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Azhar berkata, inovasi tersebut juga adalah langkah ke arah pendigitalan perkhidmatan MBSP kepada masyarakat yang memudahkan pengguna khususnya dalam aspek pengendalian makanan.

Justeru, beliau memberitahu bahawa pengendali makanan yang memiliki buku suntikan sedia ada boleh hadir ke klinik ibu pejabat MBSP Bandar Perda untuk menukarkannya kepada kad pintar dengan bayaran RM5.

“Bayaran RM5 ini hanya dikenakan kepada mereka yang ingin menukar buku suntikan kepada kad pintar secara sukarela sebelum tamat tempoh sah suntikan tifoid yang diterima.

“(Dan) bagi mereka yang mahu menukar semasa mengambil suntikan, mereka tidak akan dikenakan sebarang caj selain bayaran untuk mendapatkan vaksin tersebut,” katanya sambil menambah bahawa sebanyak 300 Kad Pintar e-Munisasi telah dikeluarkan setakat ini.

Difahamkan, seramai 3,000 pengendali dan pengusaha makanan di seluruh Seberang Perai telah mendapatkan suntikan tifoid yang merupakan syarat wajib sebelum memulakan tugas mengendalikan makanan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD