10 keutamaan strategik MBSP capai aspirasi bandar masa depan

PADANG LALANG – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menggariskan 10 Keutamaan Strategik dalam merealisasikan Seberang Perai Aspirasi Bandar Masa Hadapan.

Datuk Bandar, Dato’ Azhar Arshad berkata, Visi Penang2030 dan Sustainable Development Goals (SDGs) telah dijadikan instrumen penting untuk menyusun program-program serta aktiviti-aktiviti yang bersesuaian untuk memenuhi kehendak pihak berkepentingan.

“Sepuluh Keutamaan Strategik ini akan menjadi teras utama ke arah menjadikan Seberang Perai ‘City For All’ dan menjadikan MBSP sebuah organisasi yang berpaksikan rakyat.

“Di samping mentransformasikan Seberang Perai ke arah bandar raya pintar dan mampan, saya juga mengharapkan untuk Seberang Perai mengorak langkah lebih jauh untuk mengembangkan usaha menjadikan Seberang Perai sebuah bandar raya sukan pelancongan.

“MBSP membuktikan bahawa pelaporan 100 hari usaha-usaha ini mempunyai impak yang positif dan bermanfaat kepada penduduk Seberang Perai, malah pencapaian ini bukan usaha saya seorang bahkan seluruh warga MBSP,” ujar Azhar pada Majlis Perasmian Lapangan Rentas Halangan dan 100 Hari Datuk Bandar dekat Pejabat Cawangan MBSP Jalan Betek pada 13 April 2022.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBSP, Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid dan Ketua-ketua Jabatan MBSP.

Antara 10 Keutamaan Strategik yang diumumkan, jelas Azhar adalah persekitaran yang selamat; kemudahan dan infrastruktur yang berkualiti; gaya hidup sihat; pembangunan hijau dan persekitaran bersih serta penerapan teknologi baru.

“Lima lagi inisiatif lain termasuklah ekonomi bandar yang berdaya saing; memperkukuhkan budaya dan warisan; bandar yang berdaya tahan dan berdaya huni; keterlibatan komuniti dan pembangunan yang inklusif dan saksama.

“Sebagai contoh inisiatif persekitaran yang selamat adalah bagi mentadbir Seberang Perai dengan keluasan 738 kilometer persegi, sememangnya merupakan satu cabaran.

“(Dan) dengan kelengkapan kamera litar tertutup (CCTV) sebanyak 222 buah, MBSP telah berjaya mengesan 21 kes yang melibatkan pembuangan sampah haram, kesesakan lalu lintas, pokok-pokok tumbang, banjir dan penjaja haram setakat ini. Permasalahan ini telah berjaya dikenal pasti dan ditangani dengan cepat oleh MBSP.

“Salah satu kelebihan yang ada pada CCTV MBSP ialah kita mempunyai 25 buah CCTV yang Analytic Intelligent (AI) yang mana pengesanan kesalahan di bawah bidang kuasa penguatkuasaan MBSP dapat diambil dengan berkesan,” jelasnya lagi.

Pada sesi tersebut, Azhar meluangkan masa menonton ‘persembahan’ ketangkasan anggota penguat kuasa MBSP di lapangan rentas halangan.

“Sekiranya pihak luar MBSP berminat menggunakan kemudahan tersebut, pihaknya sedia mempertimbangkan,” katanya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD