MBSP, MBPP peroleh RM4.28 juta hasil melalui aplikasi PSP

Admin

SEBERANG JAYA – Sejumlah RM4.28 juta hasil bayaran tempat letak kereta berjaya dikutip oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan di negeri ini melalui penggunaan aplikasi Penang Smart Parking (PSP) sehingga 2 Julai 2020.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa jumlah itu adalah berdasarkan lebih 2 juta transaksi yang dilakukan sejak aplikasi tersebut dilancarkan pada 18 Ogos tahun lepas.

“Setakat 2 Julai lalu juga, bilangan muat turun (pengguna) aplikasi PSP adalah sebanyak 317,933 melibatkan 213,805 muat turun bagi pengguna Android dan 104,128 muat turun bagi pengguna IOS.

“Ini merupakan satu jumlah yang sangat besar dan kita gembira melihat begitu ramai penduduk di negeri ini telah memanfaatkan sepenuhnya inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini,” katanya pada sidang media sejurus selesai majlis angkat sumpah penerimaan jawatan dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang baru, di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP dekat sini pagi ini.

Rupa bentuk sensor yang dipasang bagi sistem PSP.

Hadir sama, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Naib Presiden Eksekutif Syarikat HeiTech Padu (HTP) Berhad, Abdul Halim Md. Lassim.

Menurut Jagdeep, jadual bagi menyiapkan projek PSP yang sepatutnya selesai pada 31 Julai ini terpaksa ditangguhkan sehingga hujung Februari 2021 ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan pandemik COVID-19.

Jelasnya, pihak HTP, selaku penyedia platform, kini sedang menjalankan analisis sistem, aktiviti pemeriksaan dan pengesahan sensor, papan tanda kawalan dan penanda petak parkir bagi pemasangan 15,000 unit sensor secara berfasa mulai Julai 2020.

“Bagi Fasa 1 projek PSP iaitu sebelum PKP dilaksanakan, sebanyak 1,031 sensor diperoleh dari Wuhan, China yang mana 667 unit sensor telah dipasang di kawasan MBSP manakala 364 unit lagi dipasang di kawasan MBSP.

“Ekoran pandemik COVID-19, pihak HTP terpaksa mendapatkan sensor baharu daripada Republik Malta sebanyak 38,000 unit yang dihantar secara berfasa mulai 8 Julai 2020 sehingga Februari 2021 termasuklah 2,000 unit sensor gantian sekiranya berlaku sebarang kerosakan,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep turut memaklumkan bahawa pihak HTP juga telah menambah bilangan penjual e-Kupon bagi memenuhi permintaan pengguna terutamanya bagi mereka yang kurang mahir dalam penggunaan teknologi.

“Sebanyak 242 subejen penjualan di seluruh negeri iaitu 205 subejen MBPP dan 37 subejen MBSP telah mendaftar sehingga 30 jun 2020.

“Selain itu, 30 rangkaian (kedai serbaneka) Happy Mart juga mula menjual e-Kupon iaitu antara lain, di George Town; Prima Tanjung dekat Tanjung Tokong; Raja Uda dan Jalan Ong Yi How serta lima cawangan (kedai serbaneka) 24 Xpress di Lebuh Macallum, Jalan Nagore dan Jalan Perak,” ulasnya lagi.

Difahamkan, projek PSP merupakan salah satu daripada 61 inisiatif bandar pintar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi mencapai Visi Penang2030.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS