MBSP perkenal garis panduan perniagaan dalam talian di rumah

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) buat julung kalinya memperkenalkan garis panduan khusus kepada peniaga-peniaga yang menjalankan perniagaan secara dalam talian (online) dari premis kediaman masing-masing.

Datuk Bandarnya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa penyediaan garis panduan tersebut adalah bertujuan memudahkan peniaga yang terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 untuk mendapatkan permit perniagaan.

“Hasil daripada maklumat yang diperolehi daripada pandangan awam kepada Ahli-ahli Majlis dan pihak MBSP, kebanyakan peniaga online tidak boleh membuka akaun bank untuk perniagan mereka kerana tidak mempunyai permit sah daripada MBSP.

“Justeru, dengan adanya permit ini akan membantu peniaga online untuk membuka akaun perniagaan mereka di bank berbanding ketika ini yang mana kebanyakan daripada mereka hanya membuka akaun atas nama masing-masing.

“Melalui kaedah ini, peniaga boleh meluaskan skop perniagaan mereka sekaligus dapat meningkatkan lagi tahap ekonomi masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis dekat Menara Bandaraya MBSP dekat sini.

Hadir sama, barisan Ahli Majlis dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod.

Tambah Rozali, garis panduan tersebut menggariskan 15 perkara yang menetapkan aspek-aspek penting yang perlu diambil kira oleh peniaga online untuk mendapatkan permit perniagaan sah daripada MBSP mulai 1 Januari 2021.

“Bagaimanapun, setiap peniaga perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan iaitu berumur 18 tahun ke atas, syarikat perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan jenis pendaftaran mempunyai perkataan ‘secara atas talian’ atau ‘online’.

“Selain itu, perniagaan yang dijalankan hanya secara dalam talian yang mana peniaga tidak boleh menjual atau mempamerkan barangan jualan secara terbuka di rumah masing-masing.

“Sekiranya mereka menjual atau mempamerkan barangan jualan seperti kedai-kedai biasa, kita akan arahkan lesen mereka dibatalkan,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa pihaknya akan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) pemantauan untuk meneliti syarikat-syarikat yang belum berdaftar.

“Pada peringkat permulaan, kita menyeru supaya peniaga untuk berdaftar supaya orang awam lebih yakin terhadap perniagaan mereka selain menjamin keselamatan kepada pembeli.

“Oleh itu, saya memohon kepada peniaga untuk manfaatkan peluang ini untuk meningkatkan lagi perniagaan masing-masing,” ujarnya lagi.

Garis panduan ini boleh didapati di laman sesawang www.mbsp.gov.my.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD