SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terus memperkukuh keupayaan penyampaian perkhidmatannya menerusi perolehan sebuah Side Arm Mower With Tractor bernilai RM1.3 juta yang bakal meningkatkan kecekapan kerja-kerja penyelenggaraan landskap, bahu jalan, cerun serta kawasan yang sukar diselenggara secara konvensional.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, perolehan aset baharu itu bukan sekadar menambah kelengkapan operasi, sebaliknya melambangkan komitmen berterusan MBSP dalam memanfaatkan teknologi moden bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat menjadi lebih pantas, cekap, selamat dan berkualiti.
Menurut beliau, jentera tersebut dilengkapi sebuah traktor berkuasa 126 kuasa kuda (hp) yang boleh dipadankan dengan tiga kelengkapan tukar guna (interchangeable attachments) mengikut keperluan operasi di lapangan.
“Pendekatan ini bukan sahaja mengoptimumkan penggunaan aset, malah meningkatkan fleksibiliti operasi, kecekapan sumber serta produktiviti pasukan penyelenggaraan MBSP,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Side Arm Mower With Tractor yang berlangsung di Menara Bandaraya MBSP dekat sini pada 28 Julai 2026.


Mengulas lanjut, Baderul Amin berkata, bagi kerja-kerja pemangkasan pokok, kelengkapan tersebut menggunakan kuasa 28 hp dan mampu memangkas pokok sehingga ketinggian lima meter dengan diameter dahan sehingga lima inci dalam tempoh kurang satu jam.
Beliau berkata, bagi kerja pemotongan rumput pula, jentera itu beroperasi pada kelajuan 2,950 putaran seminit (rpm) dengan ketinggian pemotongan sehingga tiga sentimeter, sekali gus membolehkan kerja pemotongan rumput sepanjang dua kilometer disiapkan dalam tempoh kira-kira sejam bagi pemotongan kali pertama.
“Lebih membanggakan, penggunaan jentera ini mampu menjimatkan keperluan tiga orang tenaga kerja berbanding kaedah konvensional,” jelasnya.
“Selain itu, kerja-kerja pembersihan papan tanda yang sebelum ini mengambil masa lebih lama kini dapat diselesaikan dalam tempoh hanya lima minit, sekali gus mempercepatkan pelaksanaan penyelenggaraan di lapangan,” jelasnya.


Baderul Amin turut menegaskan bahawa teknologi bukan bertujuan menggantikan peranan manusia, sebaliknya memperkasakan warga kerja supaya dapat melaksanakan tugas dengan lebih selamat, produktif dan berkesan.
Katanya, penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap akan memberi manfaat kepada rakyat melalui persekitaran bandar yang lebih bersih, teratur dan kondusif, di samping meningkatkan kebajikan serta keselamatan anggota kerja MBSP.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa setiap aset yang diperoleh menggunakan wang rakyat merupakan satu amanah yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya, diselenggara dengan baik dan digunakan secara optimum agar pulangan manfaat kepada masyarakat melebihi nilai pelaburan yang dibuat.
Justeru, beliau menyeru seluruh warga MBSP agar terus mengamalkan integriti, disiplin, profesionalisme dan komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas kerana kecemerlangan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada teknologi, tetapi turut ditentukan oleh nilai dan tanggungjawab setiap warganya.
“Saya yakin dengan gabungan teknologi moden, kepimpinan yang berwawasan serta warga kerja yang berintegriti, kompeten dan berdedikasi, MBSP akan terus melangkah sebagai sebuah pihak berkuasa tempatan yang progresif, berdaya saing dan diyakini masyarakat,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MBSP