Agenda memperkasa sistem kesihatan negeri fokus utama kunjungan hormat JKNPP

Admin
8152440d a55c 40e9 ac19 0b3685720d43

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) baharu, Dr. Zulhizzam Abdullah bersama-sama delegasinya bagi membincangkan pelbagai agenda strategik ke arah memperkukuh sistem kesihatan negeri.

Dalam pertemuan tersebut, Zulhizzam memaklumkan mengenai cadangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri bagi menyelaras pelaksanaan dasar berkaitan pemakanan, gaya hidup sihat dan usaha menangani penyakit tidak berjangkit (NCD).

3201b134 b3bf 4c11 8f27 548c3b55e9ef a5157bf1 d0c9 46b9 a621 13fcba620609 3e431c64 86dd 4b60 baba 82001a7017c7
Menurut Zulhizzam, penubuhan jawatankuasa berkenaan mampu mengelakkan pertindihan fungsi antara agensi di samping memperkukuh penyelarasan melibatkan kerajaan negeri, Exco berkaitan, pegawai daerah serta pelbagai pihak berkepentingan.

Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai beberapa cabaran kesihatan yang sedang dihadapi negeri, termasuk peningkatan populasi warga emas yang memerlukan perancangan lebih menyeluruh dari segi kemudahan penjagaan jangka panjang, perkhidmatan sokongan komuniti serta pembangunan fasiliti ‘assisted living’.

Perbincangan turut menyentuh keperluan memperkukuh intervensi kesihatan mental melalui kerjasama pelbagai agensi susulan peningkatan kebimbangan terhadap isu bunuh diri dan juga buli.

Dalam pada itu, Zulhizzam turut berkongsi cabaran kekurangan tenaga kerja kesihatan melibatkan doktor dan jururawat, selain memaklumkan cadangan memperluas kerjasama awam-swasta sebagai langkah jangka pendek bagi mengurangkan tekanan terhadap fasiliti kesihatan kerajaan.

Turut dibincangkan ialah perkembangan mengenai beberapa projek infrastruktur kesihatan di Pulau Pinang termasuk pembinaan hospital baharu, peluasan Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) serta perancangan menaik taraf Hospital Sungai Bakap dan Hospital Bukit Mertajam.

Mengakhiri pertemuan, Kon Yeow menyatakan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus bekerjasama rapat dengan JKNPP dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat Pulau Pinang.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pengurusan), M. Maheswari; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. R. Premalosini @ Maria serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Rozaini Mat Shah merupakan antara yang turut sertai pentemuan tersebut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING