MBSP sasar pengurangan 50 peratus karbon tahun 2022 dan sifar karbon 2050

Admin

SEBERANG JAYA – Anugerah Sekolah Hijau 2019 Peringkat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang masuk tahun ke-10 dilihat selari dengan matlamat organisasi tersebut yang sedang menuju ke arah bandar raya rendah karbon.

Menurut Setiausaha Bandarayanya, Ir.Rosnani Mahmod berkata, hala tuju MBSP kini jelas iaitu mengurangkan penghasilan karbon di Seberang Perai sebanyak 50 peratus pada tahun 2022.

“Menjelang 2022, MBSP meletakkan hala tuju mengurangkan penghasilan karbon sebanyak 50 peratus ataupun lapan tan per kapita kepada empat tan perkapita.

“Manakala bagi tahun 2050 kita sasarkan untuk menjadi sebuah bandar raya carbon neutral city ataupun sifar karbon.

“Jadi, melalui Anugerah Sekolah Hijau ini, kita mampu membentuk satu generasi baharu yang dilatih untuk menghargai alam sekitar selaras dengan Local Action 21 dalam melahirkan generasi yang sihat dalam merealisasikan hala tuju MBSP,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Anugerah Sekolah Hijau 2019 bertempat di Menara Bandaraya MBSP dekat Bandar Perda pagi tadi.

Selain itu, MBSP turut komited untuk menangani perubahan cuaca yang menjadi permasalahan seluruh dunia hari ini.

“Kita (MBSP) sasarkan untuk menurunkan suhu sekurang-kurangnya sebanyak 1.5 darjah celsius… kita boleh lihat hari ini, apabila hujan sekejap sahaja beberapa tempat boleh dinaiki air.

“Ini akibat dari perubahan cuaca yang ketara dan ketumpatan hujan yang tinggi dalam satu-satu masa,” ujar beliau lagi.

Pada Anugerah Sekolah Hijau 2019 kategori menengah kali ini, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berapit dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, plak dan sijil.

Tempat kedua pula berjaya dirangkul SMK Convent Butterworth (wang tunai RM1,600 plak beserta sijil) dan tempat ketiga disandang SMK Guar Perahu (RM1,000).

Bagi kategori sekolah rendah, tempat pertama berjaya dimenangi oleh SK Kebun Sireh, diikuti tempat kedua Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Mak Mandin dan SJKC Lee Chee (ketiga).

Antara anugerah lain yang dipertandingkan termasuklah Program Sisa Sifar, Kebersihan dan Penghijauan, Inovasi dan Kreativiti dan Penyertaan Komuniti.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD