Pemberian Biasiswa Kecil Negeri bantu ringankan beban ibu bapa pelajar, kata TKM II

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan pemberian Biasiswa Kecil Negeri (BKN) kepada 610 pelajar baharu dari 108 buah sekolah pada tahun ini melalui peruntukan berjumlah RM406,080.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu meringankan beban ibu bapa pelajar tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang politik.

Prof. Dr. P. Ramasamy menyerahkan cek kepada salah seorang wakil penerima BKN dekat SP Arena Seberang Jaya, pagi tadi.

“Sumbangan yang disampaikan ini adalah atas keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menghargai dan menjaga kebajikan penduduk di negeri ini.

“Justeru, diharapkan pemberian ini dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh ibu bapa serta waris pelajar terutamanya kepada yang kurang berkemampuan,” ujarnya ketika berucap membacakan teks Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada majlis sumbangan cek BKN Pulau Pinang dekat SP Arena, di sini pagi tadi.

Hadir sama, wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Amat Sazali Abu Hassan; Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Syed Jaafar Syed Abd Aziz; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Mahamad Fauzi Saad serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Abu Shopian Hussin.

Difahamkan, bagi Kawasan Seberang Perai seramai 431 pelajar layak menerima BKN pada tahun ini iaitu 157 pelajar dari daerah SPT, SPU (157 pelajar) dan SPS (117 pelajar) dengan peruntukan berjumlah RM75,720.

Setiap pelajar yang layak menerima wang tunai berjumlah RM600 bagi pelajar sekolah menengah rendah manakala RM840 bagi sekolah menengah atas.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS