MBSP tambah baik garis panduan pemasangan papan iklan perniagaan

Admin

SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menambah baik garis panduan pemasangan papan iklan perniagaan di kawasan Seberang Perai dengan mengambil kira kesesuaian semasa.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa beberapa penekanan ditetapkan dalam garis panduan baru tersebut seperti jenis, saiz, lokasi pemasangan, kandungan dan visual, penggunaa bahasa, pencahayaan serta lain-lain.

“Pemakaian garis panduan ini adalah berkuat kuasa serta-merta bagi permohonan lesen perniagaan baru yang diterima MBSP.

“Bagi lesen perniagaan sedia ada, MBSP memberikan tempoh dua tahun untuk pemegang lesen untuk membuat persediaan dan menukar papan iklan mengikut garis panduan ini.

“Oleh itu, mulai Januari 2023, semua papan iklan perniagaan hendaklah mematuhi aspek dan spesifikasi yang ditetapkan menerusi garis panduan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis dekat Menara bandaraya MBSP, semalam.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBSP serta Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod.

Tambah Rozali, reka bentuk dan pemasangan papan iklan perniagaan pada masa kini adalah tidak memenuhi dasar di peringkat negeri dan undang-undang sedia ada selain kaedah pemasangan berisiko kepada keselamatan awam.

“Justeru, kita berharap agar semua peniaga dapat mengambil maklum berhubung pemakaian garis panduan ini dan menyediakan perancangan supaya papan iklan yang tidak emmatuhi garis panduan dapat ditukar sebelum Januari 2023.

“Sebarang pertanyaan atau penjelasan lanjut boleh hubungi Jabatan Perlesesanan MBSP atau e-melkan ke [email protected],” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD