MBSP, Think City meterai MoU mahu wujudkan ‘20-Minute City’

GEORGE TOWN – Suatu hari nanti, pejalan kaki atau mereka yang berbasikal dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain sekitar bandar raya Seberang Perai mungkin hanya mengambil masa kurang dari 20 minit, seperti Melbourne (Australia) serta beberapa lagi bandar raya terkenal di dunia.

 

 

Demikian kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud selepas menandatangani suatu perjanjian persefahaman (MoU) dengan Think City iaitu firma subsidiari persekutuan, Khazanah National Berhad bagi meremajakan lagi Bandar Butterworth serta meningkatkan daya huni penduduk lokal di sana.

 

 

“Enam projek telah dirancang untuk dilaksanakan dalam tahun 2022 iaitu Public Realm Urban Design Guidelines (UDG) for 20-Minute City, penglibatan komuniti dalam reka bentuk konsep pelan di Taman Pantai, Butterworth dan program-program Sungai Perai.

 

 

“Projek-projek lain termasuklah naik taraf Pasar Awam Jalan Jeti Lama yang mana kos ditanggung oleh MBSP sebanyak RM4 juta, naik taraf Pocket Parks dan Rain Garden serta pembesaran Butterworth Art Walk,” ujar Rozali dalam acara ringkas tersebut di Menara Bandaraya MBSP di sini pada 14 Oktober 2021.

 

Turut serta, pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid; Ahli-ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan dan Pengarah Urusan Think City Sdn. Bhd., Hamdan Abdul Majeed.

 

 

Tambah Rozali, MoU yang ditandatangani bagi tempoh 14 Oktober 2021 hingga 13 Oktober 2026 itu adalah lanjutan daripada perjanjian persefahaman yang dimeterai sebelum ini bagi tempoh lima tahun, pada tanggal 8 Januari 2016.

 

 

Mengulas lanjut mengenai MoU terdahulu, Rozali menjelaskan bahawa MBSP berjaya meremajakan semula Butterworth melalui program dan projek seperti Butterworth Fringe Festival (BFF), naik taraf taman poket di Lebuh Benggali, kolam renang Pangsapuri Ria, pembangunan Perpustakaan Digital Butterworth, Butterworth Art Walk dan pembangunan bazar MARA Bagan.

 

 

 

“Selaras dengan MoU ini juga, satu lanjutan kerjasama dalam pelaksanaan Program Butterworth Baharu yang melibatkan Projek Adopting 20-minute City di Butterworth akan diadakan pada Januari 2022.

 

 

“Kita bercadang mewujudkan tujuh kawasan kejiranan berkonsepkan ‘20-minute City’ di Seberang Perai. 

 

 

“Dalam ‘20-Minute City’, kita hanya akan bercakap mengenai gaya hidup berbasikal dan berjalan kaki untuk mendapatkan perkhidmatan asas seperti sekolah, kelengkapan harian, hospital dan riadah.

 

 

“Manakala, pergerakan antara bandar pula akan menggunakan pengangkutan awam dalam masa 20 minit. 

 

 

“Jadi, dengan pembangunan ‘20-Minute City’ di kawasan kejiranan dan antara bandar ia akan menjadikan Seberang Perai sebagai bandar 20 minit pertama di Malaysia,” jelasnya lagi. 

 

 

Sehubungan itu, Rozali berharap lebih banyak pihak swasta dapat tampil bersama-sama demi menjayakan projek tersebut menjelang tahun 2030.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MBSP