MBSP utamakan advokasi sebelum kuat kuasa larangan berniaga di luar pagar sekolah tahun depan

Admin
380f574d 9e1c 405a ae3a ab1081faceb1 BADERUL Amin Abdul Hamid (kanan sekali) dengan diiringi beberapa Ahli Majlis MBSP lain menunjukkan papan tanda larangan aktiviti penjajaan dalam lingkungan 40 meter (m) dari pagar sekolah bermula tahun hadapan, yang siap di perkarangan hadapan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Perda, Seberang Jaya pada 25 Jun 2026.

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada sesi pendidikan dan advokasi bersama semua pemegang taruh, khususnya golongan penjaja, sebelum melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan aktiviti penjajaan dalam lingkungan 40 meter (m) dari pagar sekolah bermula tahun hadapan.

25f2b190 299d 4429 aee4 f94bc7fe5610
BADERUL Amin Abdul Hamid

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, pendekatan yang diambil sehingga hujung tahun ini adalah bagi menggalakkan pematuhan secara sukarela menerusi sesi libat urus sebelum tindakan perundangan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar.

“Pendekatan MBSP bukan semata-mata berasaskan penguatkuasaan, sebaliknya bertujuan mencari penyelesaian yang seimbang antara kepentingan ekonomi penjaja dengan keperluan mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat serta kondusif,” katanya pada sidang media di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Perda, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan langkah ini adalah selaras dengan Garis Panduan Penjajaan di Luar Pagar Sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), susulan aduan daripada pihak sekolah serta ibu bapa berhubung isu keselamatan murid, kelancaran trafik dan penjualan makanan yang kurang sihat.

Bagi memastikan pelaksanaan garis panduan tersebut berjalan lancar, beliau berkata, MBSP akan menganjurkan sesi libat urus bersama komuniti setempat, pihak sekolah dan persatuan penjaja.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan akan mengedarkan risalah penerangan kepada penjaja, memasang papan tanda larangan dalam lingkungan 40 meter dari pagar sekolah, serta meningkatkan rondaan oleh anggota penguat kuasa dan pegawai kesihatan persekitaran.

Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, jelas beliau, MBSP turut memperkenalkan sistem permit pengesanan penjaja atau ‘tagging’ dengan kadar bayaran RM60 sebulan.

“Sistem ini bertujuan merekodkan, mengenal pasti dan mengurus aktiviti penjajaan di lokasi alternatif yang dibenarkan secara lebih sistematik.

“MBSP menganggarkan terdapat lebih 1,800 penjaja tanpa lesen di seluruh Seberang Perai, dengan purata sekitar 10 penjaja beroperasi secara tidak tetap di setiap 241 buah sekolah.

“Setakat ini, seramai 554 penjaja telah berdaftar di bawah sistem ‘tagging’, manakala 194 daripadanya telah melengkapkan proses berkenaan.

“Kita mahu penjaja tampil mendaftar dan berbincang dengan MBSP supaya lokasi yang sesuai dapat dikenal pasti.

“Kami mahu penyelesaian yang bersifat menang-menang, yang bukan sahaja tidak menjejaskan sumber pendapatan mereka, malah pada masa yang sama dapat mengurangkan gangguan trafik serta risiko keselamatan di kawasan sekolah,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN