Laksa Mee Pangkor resipi keluarga tarikan baharu Dapur Makton

Admin
img 20260623 wa0017

BERBEKALKAN resipi warisan keluarga yang dibawa dari Pulau Pangkor, seorang pengusaha makanan tempatan kini berusaha memperkenalkan Laksa Mee Pangkor kepada masyarakat Pulau Pinang menerusi premis perniagaannya, Dapur Makton.

Pengusahanya, ZAITUN MAT SAHAD, 55, berkata bahawa idea untuk memperkenalkan juadah tradisional itu tercetus selepas beliau menyertai Pesta Laksa yang berlangsung di Empangan Mengkuang pada 25 hingga 28 November tahun lalu.

Menurut beliau, penyertaannya dalam pesta berkenaan atas cadangan seorang rakan yang melihat potensi Laksa Mee Pangkor yang masih kurang dikenali dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

“Seorang kawan mencadangkan supaya saya menyertai Pesta Laksa dengan menjual Laksa Mee Pangkor kerana juadah ini masih kurang dikenali di Pulau Pinang.

“Ketika itu saya menyertai pesta tersebut buat pertama kali dan tidak menyangka sambutan yang diterima begitu menggalakkan sehingga berjaya mencatatkan jualan kira-kira RM10,000 sepanjang empat hari program berlangsung,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD ketika ditemui baru-baru ini.

img 20260623 wa0014
Zaitun Mat Sahad.

Dapur Makton yang telah beroperasi sejak kira-kira empat tahun lalu sebelum ini menawarkan pelbagai menu masakan panas seperti nasi goreng, mi goreng, kuetiaw goreng kerang, bihun sup serta rojak buah.

Bagaimanapun, Laksa Mee Pangkor kini muncul sebagai menu istimewa yang bakal diketengahkan kepada pelanggan sebagai antara tarikan utama premis tersebut.

Mengulas mengenai keistimewaan hidangan itu, Zaitun berkata, Laksa Mee Pangkor mempunyai cita rasa yang tersendiri dan berbeza daripada jenis laksa lain yang popular di negara ini.

Menurutnya, hidangan tersebut dipercayai berasal daripada masyarakat Kwantung atau Guangdong di China yang berhijrah ke Tanah Melayu, khususnya di Pulau Pangkor, Perak dan membawa bersama resipi berkenaan.

“Lama-kelamaan, masakan ini menjadi sebahagian daripada identiti makanan masyarakat di Pulau Pangkor dan kawasan sekitar seperti Lumut serta Pantai Remis.

“Mi yang digunakan lebih tebal, lembut dan kenyal berbanding mi laksa biasa.

“Kuahnya pula dihasilkan daripada rebusan ikan seperti ikan kembung atau ikan selayang yang dimasak bersama rempah dan asam keping,” jelasnya.

img 20260623 wa0019img 20260623 wa0010

Tambah beliau, keseimbangan rasa lemak dan masam menjadikan Laksa Mee Pangkor istimewa serta sesuai dinikmati pada waktu sarapan.

Hidangan tersebut lazimnya dihidangkan bersama hirisan timun, bawang, cili, daun pudina dan sambal belacan bagi menambahkan lagi keenakannya.

Lebih bermakna, resipi yang digunakan di Dapur Makton merupakan resipi asli peninggalan arwah ibunya yang berasal dari Pulau Pangkor.

Zaitun berkata, beliau telah mempelajari cara penyediaan hidangan tersebut sejak di bangku sekolah, namun sebelum ini hanya disediakan untuk keluarga dan tidak pernah dikomersialkan.

“Dulu makanan ini tidak begitu dikenali kecuali di kawasan tertentu di Perak, sebab itu saya hanya memasaknya untuk keluarga.

“Setakat ini pelanggan yang mengetahui tentang Laksa Mee Pangkor sahaja yang membuat tempahan kerana menu ini belum dimasukkan secara rasmi dalam senarai jualan di warung,” katanya.

img 20260623 wa0018
Zaitun menunjukkan cara penyediaan Laksa Mee Pangkor.

Beliau bagaimanapun optimis hidangan tersebut mampu mendapat tempat dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang dan merancang untuk menjadikannya sebagai menu tetap di Dapur Makton dalam masa terdekat.

Sebagai usaha memperluaskan lagi pemasaran, Zaitun turut merancang menyertai karnival makanan sempena Sambutan Hari Koperasi Negara 2026 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA, Arena Butterworth dari 3 hingga 5 Julai ini.

Selepas penyertaan tersebut, Laksa Mee Pangkor dijangka diperkenalkan secara rasmi sebagai menu kekal di premis berkenaan.

Zaitun yang merupakan ibu kepada tiga orang anak dan nenek kepada lima cucu turut mengalu-alukan orang ramai untuk datang ke Dapur Makton bagi menikmati sendiri keenakan Laksa Mee Pangkor.

Maklumat lanjut mengenai hidangan tersebut boleh diperoleh menerusi akaun TikTok Dapur Makton atau dengan menghubungi talian 012-649 5997 untuk tempahan.