MBSP wajar syaratkan pemaju perumahan baharu sediakan kemudahan rekreasi lengkap – Exco

Admin
d44bfccf 85b2 4a79 9176 529ecfabb0b3 ACARA gimik perasmian penyempurnaaan Projek Penaiktarafan Kawasan Lapang Taman Mutiara Teratai dekat KADUN Bukit Tambun pada 24 Jun 2026.

BUKIT TAMBUN – Bagi mengelakkan risiko kawasan lapang di taman-taman perumahan baharu terus terbiar atau ‘kosong’ dalam tempoh yang lama sebelum dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan riadah yang berkualiti dan lengkap, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) wajar menambah baik syarat kelulusan pelan Kebenaran Merancang (KM) sedia ada.

733dc69b 68fa 47f4 9eb8 a67a12f33794
GOH Choon Aik

Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, selama ini pemaju hanya disyaratkan menyediakan 10 peratus daripada tapak pembangunan sebagai kawasan lapang berserta kemudahan permainan kanak-kanak yang asas.

“Tidak perlu lagi menunggu peruntukan MBSP untuk menaik taraf padang atau kawasan lapang di taman-taman perumahan.

“Kita (MBSP) boleh menggunakan kuasa kelulusan Kebenaran Merancang dengan menetapkan syarat yang jelas bahawa pemaju wajib menyediakan trek joging, peralatan riadah, dataran untuk senamrobik serta sistem saliran bawah tanah supaya kawasan lapang ini benar-benar dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk dan tidak menjadi kawasan takungan air selepas hujan lebat.

“Jika mereka (pemaju perumahan) hanya mampu menyediakan sembilan peratus daripada keluasan tapak pembangunan sebagai kawasan lapang atas faktor teknikal tanah, baki nilainya perlu digantikan dengan penyediaan fasiliti rekreasi yang lengkap,” jelasnya ketika merasmikan Projek Penaiktarafan Kawasan Lapang Taman Mutiara Teratai dekat KADUN Bukit Tambun pada 24 Jun 2026.

71c0949a e2a3 4291 9329 53263c9d97e8
WAJAH baharu kawasan lapang Taman Mutiara Teratai selepas kerja-kerja penaiktarafan siap dilaksanakan oleh pihak MBSP.

Buletin Mutiara difahamkan bahawa projek penaiktarafan kawasan lapang yang telah siap dibangunkan di taman perumahan tersebut meliputi pembinaan trek joging, laluan pejalan kaki, sistem saliran bawah tanah, taman permainan kanak-kanak, peralatan senaman terbuka, dataran, bangku, tong sampah, papan tanda keselamatan serta landskap tambahan.

Mengulas lanjut, Choon Aik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun berkata, projek penaiktarafan kawasan lapang yang dilaksanakan oleh MBSP di kawasan tersebut mempunyai kualiti yang tinggi dan wajar dijadikan penanda aras bagi pembangunan kawasan perumahan baharu pada masa hadapan.

17b21f60 53f4 4137 8612 d820f94bb732
BADERUL Amin Abdul Hamid

Berucap sebelum itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid memaklumkan bahawa pihaknya membelanjakan kira-kira RM176,006 bagi melaksanakan kerja-kerja penaiktarafan pelbagai kemudahan riadah di kawasan lapang seluas 3,000 meter persegi tersebut.

Di samping itu, beliau berkata bahawa MBSP turut komited untuk menaik taraf kawasan lapang di taman-taman perumahan sedia ada pada masa hadapan sekiranya pihak berkuasa tempatan itu memperoleh peruntukan tambahan atau mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI