Taman Tambun Jaya kini miliki kawasan lapang baharu lebih selesa dan selamat

Admin
img 20260624 wa0054

BUKIT TAMBUN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melaksanakan projek menaik taraf kawasan lapang Taman Tambun Jaya dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM337,304.89 bagi menyediakan kemudahan rekreasi yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada penduduk setempat.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, projek tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Landskap dan Jabatan Kejuruteraan MBSP sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam mempertingkatkan kemudahan awam di Seberang Perai.

Menurut beliau, skop projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Landskap melibatkan kerja-kerja awalan dan tanah, pembinaan dataran serta kawasan tempat letak kereta menggunakan bata turapan saling mengunci (interlocking pavers), pembinaan laluan pejalan kaki dan pemasangan kemudahan permainan kanak-kanak.

“Turut dilaksanakan ialah pembinaan sistem perparitan, pemasangan pagar penghadang, struktur tiang penghadang (bollard), penghadang motosikal, papan tanda, bangku taman serta penyediaan nombor siri aset dengan kos keseluruhan sebanyak RM264,010,” katanya pada sidang media dekat sini sebentar tadi.

img 20260624 wa0067img 20260624 wa0064img 20260624 wa0063

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun merangkap Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor; Ahli Majlis bagi MBSP, Lim Chee Chien serta wakil komuniti setempat.

Selain itu, Baderul Amin berkata Jabatan Kejuruteraan MBSP turut melaksanakan projek menaik taraf sistem pencahayaan melalui pemasangan tujuh unit lampu LED solar berkuasa 80 watt lengkap dengan tiang lampu jenis galvanised setinggi lapan meter.

Katanya, projek bernilai RM73,294.89 itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan kemudahan pengguna yang menggunakan kawasan lapang berkenaan terutama pada waktu malam.

“Pelaksanaan projek ini merupakan sebahagian daripada usaha MBSP untuk meningkatkan kemudahan awam di Seberang Perai yang dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan dan peruntukan yang ada.

“MBSP berharap orang ramai dapat bersama-sama menjaga dan memanfaatkan kemudahan yang disediakan demi kesejahteraan komuniti,” katanya.

Sementara itu, Choon Aik merakamkan penghargaan kepada MBSP serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.

img 20260624 wa0068img 20260624 wa0065

Beliau berkata, antara manifesto yang diperjuangkannya ialah mewujudkan kejiranan yang kondusif, selesa dan sesuai didiami selain memupuk semangat kejiranan yang mesra dan harmoni.

“Bagi merealisasikan matlamat ini, saya berusaha melalui peruntukan ADUN, Ahli Majlis melalui MBSP dan juga menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menaik taraf kawasan lapang agar menjadi kawasan riadah yang dilengkapi taman permainan, gimnasium dan trek joging.

“Di Taman Tambun Jaya, kemudahan ini lebih istimewa kerana dilengkapi lampu LED yang membolehkan penduduk menggunakan kawasan ini pada waktu siang dan malam,” katanya.

Tambah beliau, penyediaan ruang tempat letak kereta yang luas dan pelbagai guna turut membantu menangani isu parkir di Kompleks Penjaja Taman Tambun Jaya.

“Reka bentuk tempat letak kereta yang dibangunkan ini turut boleh digunakan sebagai lokasi aktiviti riadah seperti tai chi, zumba dan senaman penduduk terutama pada waktu pagi.

“Ini merupakan satu projek yang benar-benar memberi manfaat kepada penduduk Taman Tambun Jaya yang telah berusia kira-kira 20 tahun,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: MUHAMAD IQBAL HAMDAN