Media Prima buat kunjungan hormat ke pejabat Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada lewat petang ini menerima kunjungan hormat daripada pengurusan kanan Media Prima Berhad (MPB) di pejabatnya dekat Komtar di sini.

Kunjungan diketuai Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Dr. Syed Hussian Syed Aljunid dengan disertai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Micheal Chan; Azlan Abdul Aziz (Pengurus Besar Kumpulan MPB) dan dua yang lain.

“Hampir satu jam sembang tentang apakah jenis kolaborasi… bagaimana kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) boleh menggunakan pelbagai platform di bawah Media Prima untuk tujuan penyampaian makluman.

“Paling penting, kita akan membuat susulan mengenai macam mana kita boleh kolaborasi,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi di sini pada 20 April 2021.

Selain itu, Kon Yeow turut berkongsi mengenai Visi Penang2030 iaitu gagasan pembangunan jangka panjang negeri selama sedekad hingga tahun 2030.

“(Mungkin kolaborasi) boleh mula dari Visi Penang2030, kemudian melihat kepada tema-tema lain yang menarik,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Di samping itu, beliau turut menyatakan komitmen untuk mencari masa bagi tujuan mengadakan kunjungan balas ke pejabat Media Prima kelak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS