Mekanisme 4P bantu capai sasaran negeri berpendapatan tinggi – Exco

Admin
GEORGE TOWN – Lebih 90,000 syarikat usahawan mikro, syarikat permulaan tempatan hingga ke multinasional telah menyumbang nilai eksport kasar kira-kira RM400 bilion dan mencipta lebih 600,000 peluang pekerjaan di negeri ini.
Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata, perusahaan yang terdapat di negeri ini sehingga kini juga telah menyumbang nilai tambah lebih RM100 bilion kepada pembangunan ekonomi Pulau Pinang.
“Pulau Pinang adalah unik yang mana para pemain industri dan pemegang taruh kebiasaannya akan mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan pihak kerajaan serta agensi berkaitan.
“Malah di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan juga, kita turut menjalinkan hubungan baik dengan lebih 100 agensi pada peringkat Persekutuan dan Negeri.
“Pastinya fokus kita (MMK Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan) adalah untuk memastikan pembangunan keusahawanan di Pulau Pinang adalah berada pada tahap terbaik selari dengan visi Penang2030 dan Malaysia Madani.
“Pertumbuhan ekonomi dalam pembangunan usahawan bukan sahaja mensasarkan negeri-negeri di Malaysia, bahkan turut menjadi misi perdagangan bagi negara-negara di Asia Tenggara,” ujarnya pada Majlis Resepsi Aidilfitri Rangkaian Keusahawanan dekat sini pada 22 Mei 2023.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Dato’ Amran Hazali; Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP), Dato’ Cheok Lay Leng serta wakil-wakil dalam kalangan pemain industri dan keusahawanan.
Mengulas lanjut, Abdul Halim memaklumkan bahawa MMK yang diterajuinya telah mencapai 54 peratus kemajuan yang disasarkan dalam Visi Penang2030.
“Semua pencapaian ini sejak lima tahun lepas tidak akan tercapai tanpa sokongan semua pemain industri yang mana bukan sahaja melibatkan sektor awam tetapi juga pihak swasta dan rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan.
“Ini merupakan salah satu contoh kerjasama yang baik, melalui mekanisme 4P antara pihak kerajaan, swasta dan orang awam dalam mencapai sasaran sebagai sebagai negeri berpendapatan tinggi kelak.
“(Dan) untuk itu, kita akan membangunkan empat kumpulan kerja utama iaitu bakat perindustrian, kemudahan perindustrian, akses pasaran dan pembangunan masa depan ekonomi negeri,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD