Membudayakan amalan membaca, PPAPP sedia 104 rangkaian perpustakaan seluruh Pulau Pinang

Admin

SEBERANG JAYA – Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit yang berlangsung serentak di seluruh negara semalam mampu membentuk masyarakat ke arah membudayakan tabiat membaca sekaligus menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang tahun 2030.

 

Berslogankan #MALAYSIAMEMBACA, program ini merupakan sebahagian daripada gerakan membaca yang dijalankan setiap tahun dan bertepatan dengan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang telah dilaksanakan selama 10 tahun.

 

Timbalan Pengerusi Lembaga Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP), Aida Yusof Rawa berkata, program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit tersebut akan diperluaskan ke semua peringkat khalayak.

 

“Sasaran program ini termasuklah bayi seawal usia, prasekolah, sekolah rendah dan menengah, universiti dan masyarakat umum.

 

“Kempen DMK merupakan usaha jitu untuk memperkukuhkan budaya membaca dan meningkatkan peratusan rakyat Malaysia membaca untuk merealisasikan hasrat serta budaya membaca dalam kalangan rakyat di negara ini,” ujarnya ketika Majlis Perasmian Pameran Dunia Media Dan Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit yang berlangsung di sini semalam.

 

Hadir menyempurnakan majlis, Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

 

Dalam pada itu, Aida beranggapan bahawa masyarakat perlu dididik dan membetulkan tanggapan perpustakaan adalah tempat untuk mengulangkaji pelajaran ataupun pusat aktiviti untuk golongan kanak-kanak.

 

“Persepsi ini harus diubah kerana perpustakaan awam yang disediakan di Pulau Pinang adalah gedung ilmu untuk segenap lapisan masyarakat.

 

“Sehingga kini, PPAPP telahpun menyediakan rangkaian perkhidmatan 104 buah perpustakaan terdiri daripada perpustakaan pusat, cawangan, pekan, pusat beli belah, bergerak dan perpustakaan desa/komuniti siber ilmu di seluruh pelusuk Pulau Pinang.

 

“Perpustakaan berperanan penting dalam melahirkan masyarakat bermaklumat dan menyumbang kepada pertumbuhan daya intelektual masyarakat sama ada masyarakat bandar mahupun luar bandar,” ujarnya sambil menyeru masyarakat menjadikan perpustakaan, budaya membaca dan kecintaan kepada buku sebagai sebahagian daripada kehidupan.

 

Penganjuran program kali keempat tersebut turut melibatkan 52 reruai jualan bagi pelbagai jenis bahan bacaan.

 

Serentak itu, bagi memeriahkan sambutan beberapa acara turut dijalankan antaranya bercerita kanak-kanak, demonstrasi kraftangan, bengkel robotic, pencarian bakat Pulau Pinang, bacaan braille, Oh My English, Oh My Jawi, Malam Lantunan Mahabbah dan pelbagai lagi.