Menang PRU13 P.Pinang, Pusat tak sama : Guan Eng

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUTTERWORTH – Jangan samakan corak kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Pakatan Rakyat (PR) di Pulau Pinang dengan Barisan Nasional (BN) peringkat Pusat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri ditubuhkan hasil kemenangan PR meraih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) paling banyak lengkap dengan memperoleh undi popular terbanyak rakyat.

Manakala, Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik semula sebagai Perdana Menteri lalu menubuhkan Kerajaan Pusat tanpa mendapat undi popular rakyat.

“(Kemenangan PRU13) di Pulau Pinang tidak dipertikai oleh sesiapa pun kerana kita (PR) bukan sahaja menang undi popular, malah, kerusi pun (elektoral) paling banyak.

“Jangan samakan corak menang Pulau Pinang dengan corak menang Pusat,” ujar Guan Eng dalam satu majlis jamuan bersama-sama lebih 1,000 sukarelawan pilihan raya peringkat Parlimen Bagan, malam tadi.

TigaAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam parlimen itu, iaitu Phee Boon Poh (Sungai Puyu), Lim Hock Seng (Bagan Jermal) dan A.Thanasekaran (Bagan Dalam) turut hadir dalam majlis keraian tersebut.

Terdahulu, banyak pihak termasuk Guan Eng sendiri mempertikai wibawa pentadbiran Najib kerana menubuhkan Kerajaan Pusat tanpa mendapat undi popular rakyat.

Ekoran itu, Guan Eng dinasihat supaya menerima kemenangan BN sebagaimana beliau menerima kemenangan PR di Pulau Pinang.

Dalam reaksi spontan, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ditubuhkan dalam kondisi PR serentak menang undi popular dan undi elektoral (kiraan kerusi).

PR Pulau Pinang menenangi 30 kerusi DUN dan 10 kerusi berbaki disandang oleh BN.

Guan Eng berkata, PR Pulau Pinang mendapat kira-kira 68 peratus undi popular rakyat, iaitu peratusan undi popular tertinggi berbanding rekod pilihanraya negeri-negeri lain baru-baru ini.

PR turut meraih 89 kerusi Parlimen dengan undi popular terbanyak, iaitu berjumlah 51.3 peratus.

Manakala, BN pula mendapat 113 kerusi Parlimen sungguhpun undi minoriti parti pemerintah itu hanya 48.7 peratus.

Namun, sistem elektoral yang diamalkan di negara ini telah memberi kelebihan kepada Najib untuk dilantik semula menjadi Perdana Menteri serta menubuhkan Kerajaan Pusat.