Menteri Australia Selatan: Pencapaian Pulau Pinang setanding peringkat antarabangsa

KETUA Menteri dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang bergambar kenang-kenangan bersama delegasi dari Australia Selatan.
KETUA Menteri dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang bergambar kenang-kenangan bersama delegasi dari Australia Selatan.

GEORGE TOWN – Hubungan diplomatik yang terjalin antara Pulau Pinang dan negara-negara luar sejak sekian lama harus diperkukuh demi menjamin keharmonian antara semua negara di masa hadapan.

Kunjungan hormat delegasi Australia Selatan ke Pulau Pinang baru-baru ini disambut oleh Ketua Menteri, Y.A.B.Tuan Lim Guan Eng bersama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P.Ramasamy, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus dan beberapa orang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Pulau Pinang.

Kunjungan kali pertama ke Malaysia dan Pulau Pinang daripada Menteri Polis, Perkhidmatan Tahanan, Perkhidmatan Kecemasan, Keselamatan Jalan Raya dan Hal Ehwal Pelbagai Budaya, Jennifer Rankie ditemani Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Pelbagai Budaya dan Etnik Australia Selatan, Hieu Van Le dan Ketua Kakitangan Kerajaan Australia Selatan, Blair Boyer.

Menurut Jannifer, beliau sangat berbangga dengan pencapaian Pulau Pinang setakat ini yang berjaya membuka mata negara-negara luar dengan kemajuannya yang setanding peringkat antarabangsa.

“Terdapat lebih 7,000 orang warganegara Malaysia yang kini menetap di Australia samada belajar mahupun bekerja di sana. Ini merupakan sesuatu yang sangat membanggakan kerana hubungan akrab kedua-duanya dapat dieratkan lagi dengan kepercayaan yang diberikan,” ujar beliau.