3 agensi Kerajaan Negeri dinobat 4 bintang

Oleh : ZULIANA AZIZ

GEORGE TOWN – “Tahun ini merupakan tahun ketiga (tiga tahun berturut-turut) jabatan mendapat pengiktirafan tersebut. Adalah menjadi satu cabaran yang besar untuk mengekalkan pencapaian ini. Sepertimana kata Y.A.B. Ketua Menteri, kita harus bekerja secara berkumpulan dan perlu mengamalkan sistem dengan betul jika hendak berjaya,” ujar Datuk Mokhtar Mohd. Jait, Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang.

DATUK Mokhtar Mohd. Jait.
DATUK Mokhtar Mohd. Jait.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaan Jabatan Kewangan Negeri (JKN) memperoleh penarafan empat bintang, iaitu sangat baik di dalam Pengauditan Pengurusan Kewangan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) baru-baru ini. JKN merupakan salah satu antara tiga jabatan atau agensi negeri yang berjaya memperoleh pengiktirafan berprestij berkenaan.

Menurut Mokhtar, setiap individu harus komited dan bekerjasama dalam menyumbang kepada pencapaian yang diperoleh.

“Kita mengurus negeri melalui kewangan. Oleh itu, taraf jabatan haruslah tinggi dan perlu menjadi ‘role model’
kepada setiap jabatan kerajaan yang ada,” tambah beliau ketika ditemui Buletin Mutiara di pejabatnya di sini
baru-baru ini.

Dua lagi jabatan yang diiktiraf oleh JAN dan mendapat penarafan empat bintang ialah Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). PDC juga merupakan jabatan yang mendapat penarafan empat bintang selama tiga tahun berturut-turut.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa PDC diiktiraf oleh JAN. Melalui pengauditan yang dilakukan, didapati jabatan (PDC) menepati dan memenuhi kehendak piawaian audit. Kita telah sampai ke satu tahap di mana kita perlu pertahankan dan kekalkan pencapaian ini kerana JAN akan meletakkan kita di dalam situasi yang lebih
sukar di masa hadapan.

DATUK Rosli Jaafar.
DATUK Rosli Jaafar.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan baik di peringkat bawahan hingga peringkat pengurusan yang bertungkus-lumus dalam menyumbang kepada faktor kejayaan sekarang,” kata Datuk Rosli Jaafar selaku Pengurus Besar PDC kepada Buletin Mutiara.

Sijil pengiktirafan bagi ketiga-tiga jabatan telah disampaikan pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Bersama Y.A.B. Ketua Menteri Kali Kedua, Tahun 2011 di Dewan Tunku, Komtar, baru-baru ini.

Dalam pada itu, sebanyak 10 jabatan lagi yang berjaya memperoleh prestasi baik di dalam pengurusan  kewangan adalah Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan; Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut; Jabatan Hal Ehwal Agama Islam; Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara; Jabatan Pertanian; Jabatan Perhutanan; Jabatan Perancang dan Desa; Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Taman Botani.