Meraikan anak-anak yatim Seri Cahaya

Admin

SAMBUTAN Hari Ibu di Rumah Kebajikan Seri Cahaya meriah dengan kehadiran Betty Chew (duduk, lima dari kanan) dan Sim Tze Tzin (duduk, tiga dari kiri) di sini.
SAMBUTAN Hari Ibu di Rumah Kebajikan Seri Cahaya meriah dengan kehadiran Betty Chew (duduk, lima dari kanan) dan Sim Tze Tzin (duduk, tiga dari kiri) di sini.

 

PERMATANG DAMAR LAUT – Pertubuhan Wanita Mutiara telah menganjurkan sambutan Hari Ibu bersama-sama ibu tunggal dan anak-anak yatim dari Rumah Kebajikan Seri Cahaya, di sini. Presiden Pertubuhan Wanita Mutiara, Betty Chew dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin turut hadir bagi memeriahkan suasana sambutan pada hari tersebut.

Sambutan yang diadakan bukan sahaja untuk meraikan dan menghargai jasa dan pengorbanan ibu-ibu tunggal tetapi turut meraikan anak-anak yatim di rumah tersebut.

Walaupun anak-anak tersebut yatim piatu, tetapi keakraban dan kemesraan yang ditonjolkan oleh para sukarelawan yang turut hadir, memberi rasa kasih sayang yang amat bermakna buat anak-anak ini,” ulas Dr. Sim Joo Seng, penganjur Sambutan Hari Ibu.

Turut memberi pendapat yang sama Chew Lay Kean, yang menyatakan bahawa anak-anak ini akan berasa disayangi sekiranya perhatian yang sebegini diberikan.

Dalam sambutan tersebut, anak-anak ini turut diraikan dengan menyampaian barang-barang permainan, pakaian dan bahan bacaan di samping mengadakan pelbagai acara yang bukan sahaja mampu membuat anak-anak di Rumah Kebajikan Seri Cahaya terhibur, malah mereka akan turut mengingati hari tersebut sebagai hari yang paling bermakna. Tze Tzin sendiri turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM3,000 kepada anak-anak yatim tersebut.

Sebagai makluman, Rumah Kebajikan Seri Cahaya diasaskan oleh dua wanita budiman, T.Kalliamah dan Linda Gregory. Rumah Kebajikan Seri Cahaya telah beroperasi selama 14 tahun dan mempunyai 33 kanak-kanak dan 10 warga emas.

Pada tahun 1999, penghuninya cuma 18 kanak-kanak sahaja. Kini jumlah tersebut bertambah memandangkan rumah ini turut memberi ruang kepada ibu tunggal yang berkerjaya meninggalkan anak-anak mereka di sini,” ujar salah seorang penjaga di rumah tersebut.

Kalliamah menyatakan bahawa perbelanjaan operasi rumah tersebut mencapai RM15,000 sebulan dan amat berbesar hati sekiranya ada pihak ingin menyampaikan sumbangan ikhlas kepada Rumah Kebajikan Seri Cahaya.

Untuk sebarang maklumat atau menghulurkan bantuan, bolehlah menghubungi Linda Gregory di talian 012-415 2079 atau Kalliamah di talian 04-626 5101 atau Rumah Kebajikan Seri Cahaya di alamat 7137, Permatang Damar Laut, Batu Maung, Pulau Pinang.