Meriah Belia 2011 kumpulkan belia PP

Admin

 

KUMPULAN Forensic sedang membuat persembahan pada sebelah malam Karnival Meriah Belia.
KUMPULAN Forensic sedang membuat persembahan pada sebelah malam Karnival Meriah Belia.

JURU – Karnival Meriah Belia yang diadakan di Juru, Auto-City mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari semua golongan termasuk kanak-kanak dan dewasa.

Majlis yang diadakan di Concept Hall, Auto-City itu berjaya mengumpulkan ribuan belia dan lapisan masyarakat di sekitar Pulau Pinang yang datang menjayakan program yang diadakan setahun sekali itu.

Pelbagai acara disediakan bagi menghangatkan suasana antaranya ‘paint ball’, futsal, pertandingan fotografi, mewarna, ‘sepak raga bulat’ serta pertunjukan superbikers dan pameran kereta yang telah diubahsuai.

Di samping itu, pelbagai hadiah cabutan bertuah disediakan seperti tiket penerbangan ke Bali dan Bandung, baucer makan malam di Doubletree, Hilton Kuala Lumpur, aksesori motosikal, payung, baju-T dan hamper. Cabutan bertuah ini merupakan acara yang pertama kali diadakan sepanjang tempoh sambutan bermula pada 2008.

Menurut EXCO Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Ong Kok Fooi, acara-acara sebegini mampu menarik minat dan perhatian para belia kini untuk menceburkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang sihat dan mempengaruhi minda melakukan kerja-kerja yang berfaedah.

“Karnival sebegini juga mampu mencegah remaja dari terjerumus kepada sebarang perlakuan negatif yang seterusnya mendatangkan kesan negatif seperti menagih dadah, aktiviti sosial tidak berfaedah, bertambahnya kes pembuangan anak luar nikah dan sebagainya,’’ jelas beliau.