Mesin ATM beras percuma untuk golongan asnaf dilancarkan di Pulau Pinang

Admin

SEBERANG JAYA – Pelancaran Mesin Teler Automatik (ATM) beras percuma pertama di Pulau Pinang untuk golongan asnaf yang disumbangkan pihak Kumpulan Sunway (Sunway) wajar dicontohi oleh lebih banyak syarikat ke arah memperbaiki sistem bantuan kepada golongan berkaitan.

 

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata beliau amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak Sunway sebagai satu usaha untuk membantu golongan asnaf.

 

“Sunway merupakan syarikat korporat pertama di Malaysia yang memulakan inisiatif ini dan sebanyak lapan buah mesin dengan lebih 6,000 kilogram (kg) beras telah disumbangkan di seluruh negara.

 

“Diharap lebih banyak syarikat akan mengikuti jejak langkah mulia pihak Sunway ini dan saya diberitahu bahawa tujuh lagi mesin dijangka siap dipasang sebelum 22 Jun ini yang akan ditempatkan dekat beberapa lokasi di seluruh Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada majlis pelancaran ATM beras percuma berkaitan di sini baru-baru ini.

 

Mesin ATM beras tersebut akan diletakkan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Bandar Perda.

 

Mengulas lanjut mengenai inisiatif itu, Afif memberitahu bahawa ianya dilengkapi dengan dua fungsi utama.

 

“Yang pertama, ia mampu mengeluarkan bekalan beras dalam kuantiti yang dikehendaki dan kedua, mesin ini boleh menerima sumbangan tunai dari masyarakat untuk membolehkan masjid membeli lebih banyak beras untuk kegunaan asnaf pada masa hadapan.

 

“Kaedah pengagihan beras akan memudahkan para penerima manfaat untuk menerima apa (jumlah) yang mereka perlukan dan mesin ini boleh menampung sehingga 200kg beras pada satu satu masa,” ujarnya sambil memaklumkan pengeluaran beras hanya boleh dilakukan oleh pemegang kad sahaja.

 

Oleh : SITI HUMAIRA BINTI MOHAMED YASIN

Gambar: ADUN