Mesin kompos di pasar harap kurang sisa sampah

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : MARK JAMES

 

GEORGE TOWN – Inisiatif Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mempergiatkan pemasangan mesin kompos di pasar-pasar sekitar Pulau Pinang bagi mengekang sisa makanan diharap dapat mengurangkan peratusan sisa sampah domestik daripada bahan terbuang tersebut, ujar Yang di-Pertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail di sini baru-baru ini.

Patahiyah berkata, dalam usaha mewujudkan persekitaran yang mampan, MPPP telah memperuntukkan pemasangan mesin kompos ketiga di Pasar Batu Lanchang selain daripada projek perintis di Pasar Pulau Tikus dan Pasar Chowrasta sebelumnya.

“Satu teknologi baru perlu diperkenalkan bagi mengurangkan pembaziran dan amalan pengurangan sisa terbuang.

“Walaupun Pulau Pinang berada sebaris di hadapan dalam usaha pemuliharaan alam sekitar sihat iaitu pada kadar 29 peratus, tetapi, ia masih memerlukan usaha membabitkan masyarakat kolektif secara keseluruhan untuk mengurangkan sampah domestik iaitu 33 peratus sisa makanan,” katanya pada Kempen Kesedaran Kebersihan Komuniti Peniaga Pasar dan Premis Makanan Kawasan Batu Lanchang barubaru ini di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang merangkap Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang turut hadir pada majlis berkenaan.

Menurut Patahiyah, rekod menunjukkan bahawa secara puratanya setiap individu menghasilkan satu kilogram (kg) makanan terbuang setiap hari.

“Mesin kompos tersebut mampu memproses sehingga 1,000 liter bahan kompos daripada sisa makanan apabila dicampurkan dengan enzim selama 28 hari sebelum mengubahnya menjadi baja.

“Syabas! Kami gembira di atas amalan 5R iaitu Kurang (Reduce), Guna Semula (Reuse), Kitar Semula (Recycle), Fikirkan Kembali (Rethink) dan Cipta Semula (Reinvent) yang dipraktikkan di Pasar Batu Lanchang kini,” ujar beliau.