Mesin pembayaran automatik 24 jam, Pusat Bayaran Setempat siap dinaik taraf

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Sebuah mesin pembayaran automatik 24 jam ditempatkan di kiosk pembayaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat Jalan Padang Kota di sini demi memudahkan pelanggan membuat pembayaran pelbagai bil di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kewangan MBPP, Joseph Ng Soon Siang berkata, pemasangan mesin tersebut berserta kerja-kerja penarafan kaunter pembayaran berpusat yang menelan belanja kira-kira RM85,000 itu siap pada Ogos lepas.

“Kini, orang ramai boleh menyelesaikan pelbagai kompaun dan bil MBPP di empat kaunter itu. “Selain itu, terdapat kiosk 24 jam yang terletak di sebelah kaunter bayaran untuk kemudahan awam,” jelasnya dalam sidang media di sini 8 September lalu.

Hadir sama, dua Ahli Majlis MBPP lain, Grace Teoh Koon Gee dan Edward Tan Chiew Choon.

Soon Siang memberitahu, kiosk MBPP di sini mula dibuka sejak Ogos 2010.

Menurutnya, rata-rata pelanggan memberikan maklum balas positif mengenai kedudukan strategik kiosk tersebut.

Justeru, katanya, MBPP pada masa hadapan bercadang menambah dua lagi mesin pembayaran automatik di kisok tersebut, memandangkan jumlah trafik pembayaran bil di sini adalah begitu tinggi.

“Kami akan memasang dua lagi kiosk yang sama tidak lama lagi,” jelas Soon Siang.