Meskipun Pulau Pinang kini dianggap sebagai negeri maju kerana sumber kewangannya, namun perhatian Persekutuan masih diperlukan – Kon Yeow

https://www.facebook.com/buletinmutiara/videos/2174189789570220/

PULAU TIKUS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow akan terus memastikan Pulau Pinang mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan khususnya dalam projek pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi.

Beliau berkata, meskipun Pulau Pinang kini dianggap sebagai sebuah negeri maju kerana sumber kewangannya, namun perhatian Kerajaan Persekutuan masih diperlukan.

“Dalam beberapa mesyuarat peringkat Persekutuan yang saya hadiri baru-baru ini, kebanyakan mereka (di peringkat Kerajaan Persekutuan) menganggap kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri maju.

“Oleh kerana kekangan kewangan yang dihadapi negara kini seperti dimaklumkan oleh Menteri Kewangan, maka (Kerajaan Persekutuan) tidak dapat memberi bantuan (kepada Pulau Pinang) sepertimana bantuan kepada negeri-negeri lain yang kurang maju.

“(Dan) saya terimanya dengan positif, mungkin kita (Pulau Pinang) maju sedikit berbanding negeri-negeri lain, namun, saya akan terus memperjuangkan hak negeri ini.

“Terutamanya dalam projek-projek pembangunan infrastruktur, sekolah-sekolah di negeri ini, kemudahan awam, pembangunan industri dan sosioekonomi ‘Untuk Negeri Kita’,” ucapnya pada Majlis Pembukaan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Bendera di No. 14, Jalan Evergreen 5 dekat Jalan Mount Erskine di sini petang tadi.

Turut berucap, Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Dalam majlis tersebut, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang turut menzahirkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai.

Difahamkan, ia merupakan pusat khidmat kedua bagi Parlimen Bukit Bendera.

“Pusat khidmat ini penting kerana ia menjadi perantaraan yang membolehkan rakyat berhubung dengan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, agensi-agensi Persekutuan dan negeri serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

“(Dan) bagi DAP, kami memandang serius pembukaan pusat khidmat kerana ia menjadi tempat untuk kita mengukuhkan organisasi melalui mesyuarat serta perjumpaan yang diadakan di sini (pusat khidmat),” katanya yang berharap dengan adanya pusat khidmat maka suara rakyat dapat didengari.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga yang juga Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen serta pimpinan DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Terletak di kawasan berpenghuni tinggi dengan kepadatan mencecah lebih 10,000 penduduk, Pusat Khidmat Parlimen Bukit Bendera tersebut beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi sehingga 5 petang dan rehat antara jam 1 hingga 2 petang.

Manakala pada hari Sabtu, beroperasi bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan tutup pada hari Ahad serta cuti umum.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Video : ALISSALA THIAN