MGS terima 12 papan pintar, perkasa pembelajaran digital interaktif

Admin
img 3907

GEORGE TOWN – Sebanyak 12 unit papan pintar (smart board) bernilai RM106,200 disumbangkan kepada Methodist Girls’ School (MGS) bagi memperkukuh kemudahan pembelajaran digital serta menyediakan persekitaran pendidikan yang lebih interaktif untuk para pelajar.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying berkata, sumbangan tersebut melibatkan enam papan pintar untuk peringkat sekolah rendah dan enam lagi bagi sekolah menengah.

Menurut beliau, kemudahan teknologi seperti papan pintar penting dalam membantu pelajar menguasai kemahiran digital yang semakin diperlukan bagi menghadapi cabaran masa depan.

“Pendidikan sentiasa menjadi keutamaan saya sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tanjong dan ketika menjadi Timbalan Menteri Pendidikan sebelum ini.

“Matlamat kita adalah untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi mempunyai akhlak, keyakinan diri serta mampu menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya semasa sesi berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Daerah Timur Laut Kawasan Parlimen Tanjong di MGS dekat sini hari pada 10 Ogos 2026.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Foo Yu Keong; Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut, Baharuddin Hashim serta barisan pengetua, guru besar dan guru-guru MGS.

img 3883 img 3888 img 3914
Pada majlis sama, Hui Ying turut menyumbangkan sebanyak 1,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz dan 5,000 bendera tangan kepada 21 sekolah di Parlimen Tanjong sebagai sebahagian daripada sumbangan tahunan pejabatnya sempena Bulan Kebangsaan.

“Pengibaran Jalur Gemilang bukan sekadar simbol sambutan kemerdekaan, sebaliknya menjadi tanda penghargaan terhadap pengorbanan generasi terdahulu dalam membina sebuah negara yang aman dan bersatu.

“Semangat patriotisme perlu diterjemahkan melalui tindakan, termasuk menghormati kepelbagaian, menjaga perpaduan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat,” jelasnya lanjut.

Dalam pada itu, Hui Ying turut menggalakkan pihak sekolah mengemukakan keperluan berkaitan kemudahan pembelajaran kepada pejabatnya bagi dipertimbangkan mengikut keperluan bagi memastikan kebajikan dan pembangunan pelajar sentiasa diberi perhatian.

Mengulas lanjut, Hui Ying turut menekankan kepentingan memastikan sekolah kekal sebagai tempat yang selamat dan kondusif, khususnya dalam menangani isu tekanan emosi, buli serta buli siber dalam kalangan pelajar.

“Jika menghadapi masalah, jangan pendam seorang diri. Bercakaplah dengan guru atau ibu bapa dan dapatkan bantuan yang diperlukan.

“Pada masa sama, gunakan media sosial secara bijak dan bertanggungjawab kerana apa yang kita lakukan di alam maya juga boleh memberi kesan kepada diri sendiri dan orang lain,” tambahnya.

Teks dan Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL