Kerajaan Negeri hargai peruntukan RM12.3 juta perkukuh pelaksanaan Penang STEM Talent Blueprint

Admin
img 20260810 wa0035

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Ekonomi atas sokongan peruntukan berjumlah RM12.3 juta sehingga tahun 2030 bagi memperkukuh pelaksanaan Penang STEM Talent Blueprint.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, peruntukan bagi tempoh lima tahun itu mencerminkan sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap usaha Pulau Pinang memperkasakan pendidikan dan pembangunan bakat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurut beliau, peruntukan berkenaan akan menyokong empat aliran utama yang digariskan menerusi blueprint tersebut iaitu iaitu “Ignite: Pendidikan STEM Untuk Generasi Muda dan “Ignite: MathQuest” bagi murid sekolah rendah; “Embed: AI on Wheels” untuk pelajar sekolah menengah rendah; serta “Embed: Technical Skill Learning” bagi pelajar sekolah menengah atas.

“Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Ekonomi kerana telah menyambut baik Blueprint STEM yang dilancarkan di negeri Pulau Pinang.

“Dalam tempoh lima tahun sehingga 2030, sebanyak RM12.3 juta disalurkan untuk menyokong blueprint ini melalui empat aliran yang dinyatakan,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Projek Rintis Bakat STEM yang disempurnakan oleh Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir di Tech Dome Penang dekat sini sebentar tadi.

img 20260810 wa0047img 20260810 wa0042img 20260810 wa0041

Tambah Kon Yeow, Pulau Pinang sebelum ini telah melaksanakan pelbagai inisiatif STEM sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan industri serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, kerjasama erat dengan pemain industri turut membolehkan lebih banyak program penempatan pelajar di sektor industri dilaksanakan, sekali gus memberi pendedahan awal kepada golongan muda terhadap alam pekerjaan sebenar.

“Matlamat kita adalah untuk menyokong pembangunan ekonomi dengan bakat-bakat daripada kalangan pelajar, sehinggalah ke peringkat lebih tinggi, termasuk melibatkan jurutera yang diberikan kemahiran-kemahiran baharu.

“Kita mendapat kolaborasi yang baik daripada industri dan banyak program penempatan pelajar di industri berlaku,” jelasnya.

Menurut Kon Yeow, antara hasrat utama program tersebut adalah untuk membuka laluan kepada pelajar yang berminat supaya mereka dapat memasuki alam pekerjaan sebaik sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam bidang teknikal dan berkaitan STEM.

Beliau menyatakan bahawa persediaan itu dimulakan seawal Tingkatan Empat bagi membolehkan pelajar memperoleh kemahiran serta pendedahan yang diperlukan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

“Sebahagian daripada hasrat kita (Kerajaan Negeri) adalah apabila pelajar yang habis SPM, mereka sudah boleh mula bekerja kerana program ini menyediakan mereka sejak dari Tingkatan Empat lagi.

“Jadi, mereka boleh terus ke industri sekiranya berminat, dan sekiranya mereka boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, mereka akan meneruskan pelajaran,” ulasnya lanjut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa pendekatan berkenaan merupakan antara perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan yang lebih bersedia menghadapi perubahan teknologi dan tuntutan ekonomi masa hadapan.

“Ini antara rancangan kita untuk menyediakan negara kita bagi menyahut cabaran pada masa depan,” katanya.

img 20260810 wa0039img 20260810 wa0040img 20260810 wa0036

Sebelum itu, Akmal Nasrullah dalam ucapan perasmian memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan RM12.3 juta bagi pelaksanaan Program Bakat STEM selama empat tahun di Pulau Pinang yang menyasarkan penyertaan 100,000 pelajar menjelang tahun 2030.

“Kita menghargai usaha yang dilaksanakan oleh Pulau Pinang, dan bersetuju untuk bekerjasama dengan sasaran melatih 100,000 pelajar menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada usaha memupuk minat terhadap STEM,” ujarnya.

Beliau memberitahu bahawa program rintis itu merupakan kerjasama antara Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memperkukuh saluran bakat yang diperlukan oleh industri masa depan.

Menurutnya, ekosistem perindustrian Pulau Pinang yang telah kukuh menjadikan negeri ini sebagai lokasi ideal untuk menguji model berkenaan sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain di seluruh negara.

“Pada peringkat nasional, kita melihat pendekatan keseluruhan ekosistem dalam memupuk minat terhadap STEM ini boleh dijadikan projek rintis di Pulau Pinang dan berdasarkan kejayaannya, seterusnya diperkenalkan di negeri-negeri lain,” ulasnya.

Akmal Nasrullah menyatakan bahawa program itu bukan sekadar bertujuan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains dan matematik, malah memastikan golongan muda tempatan dapat mengambil bahagian dalam peluang ekonomi bernilai tinggi yang sedang berkembang di sekeliling mereka.

“Pulau Pinang sememangnya mempunyai pengkhususan kukuh dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta pembuatan berteknologi tinggi, sekali gus menjadikan pembangunan bakat semakin penting bagi memastikan pertumbuhan industri negeri dapat dikekalkan.

“Malah, ekonomi Pulau Pinang berkembang sebanyak 7.3 peratus pada 2025 berbanding pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara sebanyak 5.2 peratus, manakala sektor pembuatan negeri berkembang sebanyak 10 peratus.

“KDNK Pulau Pinang mencecah RM130.3 bilion, manakala negeri ini menyumbang 48.9 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia pada Jun tahun ini,’’ jelasnya.

Akmal Nasrullah berkata, kemajuan teknologi perlu disertai usaha memastikan masyarakat tempatan tidak ketinggalan.

“Pembangunan bakat perlu dimulakan lebih awal iaitu dari sekolah rendah hingga sekolah menengah dan diperkukuh melalui pendidikan tinggi, TVET serta latihan industri.

“Apabila kita bercakap mengenai STEM di peringkat sekolah, ia bukan sekadar mengenai matematik atau sains tetapi cara anak-anak kita berfikir, menyelesaikan masalah dan seterusnya membina keyakinan serta mempersiapkan mereka untuk melangkah lebih jauh,” katanya.

Program tersebut turut memberi perhatian khusus kepada sekolah luar bandar dan kumpulan berpendapatan rendah, dengan para pelajar diberikan pendedahan secara praktikal kepada bidang-bidang baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), sains data, robotik dan teknologi digital.

Akmal Nasrullah berkata, sebanyak 86 peratus majikan menjangkakan teknologi AI dan pemprosesan maklumat akan mengubah cara perniagaan beroperasi.

“Teknologi berkembang begitu pantas, jadi kita perlu melengkapkan anak-anak kita dengan kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan teknologi, pekerjaan dan cabaran yang sentiasa berubah supaya mereka kekal relevan,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga perlu melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi ketika negara berusaha meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai industri semikonduktor, daripada aktiviti back-end ke front-end yang mempunyai nilai lebih tinggi.

Katanya, fasa seterusnya pembangunan perindustrian Malaysia perlu memberi tumpuan kepada penciptaan teknologi dan bukan sekadar mengeluarkan produk yang dibangunkan di negara lain.

“Dahulu, kita berbangga apabila berjaya menghasilkan barangan yang ‘dibuat di Malaysia’ tetapi kini, kita mahu mengubahnya kepada ‘dicipta oleh Malaysia’.

“Matlamat kita bukan sekadar mengenai meletakkan kilang di sini, tetapi memastikan kita mempunyai bakat sendiri yang mampu mencipta nilai lebih tinggi,” jelas beliau lanjut.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : SIEW CHIA EN