Minta kerajaan pertimbang waktu operasi perniagaan lebih awal

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menetapkan bahawa waktu perniagaan bagi restoran, gerai makanan serta penjaja tepi jalan adalah mulai jam 8 pagi hingga 8 malam semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diperketatkan bermula hari ini.

Arahan tersebut walau bagaimanapun, menimbulkan pelbagai pandangan termasuklah mereka yang mengatakan bahawa waktu ditetapkan oleh MKN adalah terlalu singkat dan akan mendatangkan kerugian kepada peniaga.

Sharifah Said Darus.

Antaranya, pemilik gerai makanan SHARIFAH SAID DARUS, 58, yang mencadangkan supaya restoran dan gerai makanan dibenarkan beroperasi lebih lama berbanding yang ditetapkan ketika ini.

“Sekurang-kurangnya, Kerajaan Persekutuan boleh menetapkan waktu operasi dari pukul 6 pagi hingga 9 malam dan bukannya dari jam 8 pagi hingga 8 malam seperti sekarang ini.

“Langkah ini akan membolehkan lebih ramai pekerja dapat membeli sarapan pagi sebelum masuk ke pejabat. Selain itu, ia juga akan memberikan mereka lebih masa untuk membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.

“Masa yang ditetapkan sekarang juga akan memberikan kesan negatif kepada perniagaan kami yang sudah terjejas akibat wabak sejak setahun lalu,” kata Sharifah yang telah memulakan perniagaan sejak 20 tahun lalu kepada Buletin Mutiara ketika ditemui dekat sini pagi tadi.

Faridah Aisyah Halim.

Seorang lagi pemilik gerai makanan, FARIDAH AISYAH HALIM, 47, yang turut berharap agar kerajaan dapat membenarkan restoran dan gerai makanan beroperasi dalam tempoh lebih lama.

“Arahan tutup operasi pada pukul 8 malam adalah terlalu awal, mungkin jam 9 malam atau 10 malam adalah lebih baik.

“Ini kerana sukar bagi mereka yang bekerja untuk membeli makan malam jika restoran perlu ditutup pada pukul 8 malam,” katanya lagi.

Sementara itu, pembangun perisian, R. DEVAROOPAN, 44, mengatakan bahawa beliau telah mengehadkan pergerakan apabila kes harian COVID-19 mula meningkat dengan mendadak.

“Saya takut apabila kes harian sekarang melebihi 5,000 kes setiap hari. Oleh itu, saya hanya pergi ke pasar apabila perlu sahaja untuk membeli barangan keperluan.

“Kebanyakan ahli kelurga saya juga sentiasa berada di rumah kerana syarikat kami membenarkan bekerja dari rumah kerana prihatin terhadap situasi pandemik yang menyerang kini.

“Saya tidak berani pergi ke mana-mana kerana terlalu bimbang untuk keluar dari rumah kerana ibu bapa yang telah uzur juga tinggal bersama saya.

“Saya tidak mahu mengambil risiko mereka dijangkiti COVID-19,” katanya, sambil menambah bahawa dia hanya akan membeli bahan makanan sekali atau dua kali seminggu.

S. Sumathi.

S. SUMATHI, 43, pula berkata bahawa beliau hanya menjual makanan pada jam 8 pagi walaupun kedai sarapan pagi yang diusahakannya sejak 13 tahun lalu dibuka seawal jam 6 pagi.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan beliau mengalami kerugian kerana kebanyakan pelanggannya adalah terdiri daripada pekerja kilang yang biasanya membeli sarapan sebelum jam 7 pagi.

“Hari ini pun masih banyak makanan yang belum habis dijual kerana waktu operasi perniagaan perlu dimulakan pada jam 8 pagi sedangkan waktu puncak adalah sekitar jam 6 pagi hingga 8 pagi.

“Justeru, saya mohon kepada Kerajaan Persekutuan dapat dapat membenarkan atau memberi kelonggaran untuk kita menjalankan perniagaan lebih awal sedikit.

“Sekarang kebanyakan peniaga mengalami kerugian besar dan dalam masa sama kami terpaksa menanggung kos bayaran sewa dan gaji pekerja seperti biasa.

“Selain itu, kita juga mengalu-alukan insentif kerajaan yang amat diperlukan ketika ini kerana sumbangan tersebut dapat membantu peniaga kecil seperti kami untuk meneruskan perniagaan,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD