Misi pelancongan dan pelaburan anjuran agensi Pusat, Pulau Pinang ingin ambil bahagian, tidak ingin ketinggalan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Kerajaan Negeri dapat saling bekerjasama dengan Kerajaan Pusat serta agensi Persekutuan dalam membawa lebih ramai lagi pengunjung tempatan dan pelancong asing ke Pulau Pinang.

“Sebelum perubahan politik (melalui Pilihan Raya Umum Ke-14, PRU14 pada 9 Mei 2018), Pulau Pinang memang perlu berdikari dalam membawa pelancong ke negeri ini, kerana kita mendapati misi-misi pelancongan (yang dilaksanakan oleh Kementerian) pada masa lampau tidak mengambil kira Pulau Pinang.

“Exco Pelancongan perlu melihat bagaimana kita (Kerajaan Negeri) dapat merapatkan hubungan dengan agensi-agensi Persekutuan supaya negeri Pulau Pinang dapat juga diberi perhatian sewajarnya dalam mana-mana misi (pelancongan) mahupun (misi) pelaburan.

“Negeri Pulau Pinang dapat diperkenalkan pada pasaran baru, kalau boleh kita pun mahu mengambil bahagian dalam misi-misi pelancongan yang dianjurkan agensi-agensi persekutuan, supaya kita tidak mahu ditinggalkan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong merangkap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang dalam sidang media di Komtar pada petang 26 Julai 2018.

Bercakap pada sidang media sama, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) G. Ashwin, sebelum PRU14, nama Pulau Pinang tidak dipromosi secara besar-besaran oleh agensi Persekutuan di India.

“Bagi pasaran negara India, destinasi pelancongan negara yang popular adalah Genting (Highlands, Pahang), Pulau Langkawi (Kedah) dan Kuala Lumpur,” ujarnya sambil mengakui bahawa pelancong asing dari negara India lebih memilih negara Singapura berbanding Pulau Pinang untuk mengadakan penganjuran persidangan ataupun pemeran antarabangsa.

Justeru, tambah Ashwin, mulai bulan Januari tahun ini, PCEB sebagai agensi negeri telah melaksanakan jelajah promosi Pulau Pinang Ke India dengan menemui agensi pelancongan berwajib dari wilayah Kolkata, New Delhi, Mumbai dan Bengaluru.

“Kebanyakan ejen (dari India) memberi idea bahawa Pulau Pinang boleh dipakejkan minimum tiga hari empat malam dan ia boleh menjadikan (Pulau Pinang) sebagai kombinasi dengan Singapura, sebagai contoh 150 ejen akan ke Pulau Pinang, dan dari Pulau Pinang mereka akan berlayar dengan Star Cruise ke Singapura,” jelasnya.

Ashwin mengiringi Kon Yeow dan Exco Pembangunan Pelancongan dan Warisan, Kebudayaan & Kesenian, Yeoh Soon Hin mengumumkan PCEB bakal menganjurkan acara tahunan Penang International Travel Exchange (PITE) pada September ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar: CHAN KOK KUAN

Video: LAW SUUN TING