Mitigasi hakisan lindungi pesisir Batu Ferringhi

Admin
img 20260715 wa0001

TANJONG BUNGA – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan kerja mitigasi hakisan pantai di kawasan pantai Batu Ferringhi berhampiran Hotel Lone Pine di sini sebagai langkah menangani masalah hakisan yang semakin serius.

 

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kerja pemasangan ‘beach container’ itu merupakan langkah mitigasi jangka sederhana bagi mengurangkan impak ombak terhadap garis pantai, mengawal kadar hakisan serta melindungi kawasan yang dikenal pasti paling kritikal.

 

Menurut beliau, sebanyak 62 unit ‘beach container’ akan dipasang dalam lima lapisan dengan ketinggian kira-kira lima meter, meliputi kawasan sepanjang 44 meter.

 

Keseluruhan kerja mitigasi ini melibatkan kos sebanyak RM500,000, termasuk kerja pembersihan tapak, pemotongan pokok tumbang serta pemasangan ‘beach container’ di kawasan hakisan yang dikenal pasti paling kritikal.

 

“Berdasarkan penilaian teknikal JPS, langkah mitigasi ini dijangka berkesan untuk tempoh sekitar dua hingga tiga tahun, bergantung kepada keadaan cuaca, ombak serta faktor semula jadi seperti pasang surut air laut dan kejadian cuaca ekstrem,” ujarnya dalam satu kenyataan media bertarikh 14 Julai 2026.

 

bel 9510
ZAIRIL Khir Johari.

 

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga berkata, tempoh tersebut dijangka mencukupi sebagai penyelesaian sementara sehingga projek perlindungan hakisan pantai jangka panjang yang telah diluluskan mula dilaksanakan.

 

Mengulas perkembangan kerja di tapak, Zairil memberitahu bahawa pemasangan ‘beach container’ di pantai berhadapan Hotel Lone Pine telah bermula pada 8 Julai lalu dan dijangka siap pada 10 Ogos 2026.

 

img 20260715 wa0000
PEMBERSIHAN di tapak. (Ihsan: EXCO)

 

Walau bagaimanapun beliau berkata bahawa pelaksanaan kerja berkenaan berdepan beberapa cabaran, khususnya keadaan pasang surut air laut yang mengehadkan tempoh kerja di tapak.

 

Kerja pemasangan hanya boleh dilaksanakan ketika air surut, manakala keadaan cuaca tidak menentu, termasuk hujan berterusan, angin kencang dan ombak tinggi turut menyukarkan kerja serta boleh menjejaskan aspek keselamatan di tapak.

 

“(Selain itu,) ketiadaan laluan terus untuk jentera berat memasuki kawasan pantai, menyebabkan kebanyakan kerja, termasuk penghantaran bahan binaan dan pengeluaran sisa seperti pokok tumbang, memerlukan kaedah ‘double handling’.

 

“Keadaan ini sekali gus meningkatkan tempoh masa dan kerumitan pelaksanaan kerja,” jelasnya.

 

whatsapp image 2026 07 14 at 14.28.54

 

Menurut Zairil, sekiranya kerja mitigasi tertangguh dalam tempoh yang panjang, hakisan berisiko menjadi lebih serius dan merebak lebih jauh ke daratan sehingga boleh menjejaskan struktur kekal, kemudahan awam serta infrastruktur berhampiran pantai.

 

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri turut mempunyai perancangan jangka panjang bagi menangani isu hakisan pantai di Batu Ferringhi secara lebih menyeluruh.

 

Katanya, projek perlindungan pantai jangka panjang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan kini berada dalam fasa pelantikan perunding bagi menyediakan reka bentuk terperinci sebelum kerja pembinaan dilaksanakan.

 

Cadangan projek jangka panjang ini merangkumi pembinaan struktur perlindungan pantai, termasuk struktur ‘outfall’, struktur perlindungan hakisan pantai serta kaedah pemulihan pantai atau ‘beach nourishment’, tertakluk kepada hasil kajian dan reka bentuk akhir oleh perunding yang dilantik.

 

“Pendekatan ini bertujuan mengurangkan kadar hakisan, menstabilkan garis pantai serta melindungi infrastruktur, aset awam dan kawasan pelancongan di Batu Ferringhi secara mampan,” katanya.

 

whatsapp image 2026 07 14 at 14.29.21
KERJA pemasangan ‘base’ menggunakan beg pasir giat dilaksanakan di tapak. (Ihsan: EXCO)

Menyedari kedudukan Batu Ferringhi sebagai antara destinasi pelancongan utama di Pulau Pinang, Zairil menegaskan bahawa aspek keselamatan pengunjung, kelangsungan aktiviti pelancongan dan kelestarian alam sekitar turut diberi perhatian dalam pelaksanaan kerja berkenaan.

 

“Kaedah mitigasi menggunakan ‘beach container’ dipilih berdasarkan penilaian teknikal JPS dengan mengambil kira status Batu Ferringhi sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Pulau Pinang.

 

“JPS akan terus memantau pelaksanaan kerja bagi memastikan impak terhadap aktiviti pelancongan dan alam sekitar berada pada tahap minimum, selain memastikan kawasan pantai kekal selamat dan dapat terus dinikmati orang awam,” katanya lagi.