Pakar kanser terkemuka anak jati Pulau Pinang terima darjah Dato’ Seri sempena ulang tahun TYT

Admin
img 6234 Dr. Mohamed Amir Shah Abdul Aziz

GEORGE TOWN – Sesi penganugerahan darjah kebesaran sempena Hari Ulang Tahun Ke-85 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Ramli Ngah Talib melabuhkan tirainya hari ini dengan penuh gemilang.

Lebih manis, istiadat pada hari keempat dan terakhir ini menyaksikan tokoh perubatan terkenal tanah air mendahului senarai penerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Beliau ialah Dato’ Seri Dr. Mohamed Amir Shah Abdul Aziz, Pakar Perunding Kanan Onkologi Klinikal merangkap Pengarah Perubatan Icon Oncology di Island Hospital, Pulau Pinang.

Beliau dianugerahkan D.G.P.N. sebagai pengiktirafan atas sumbangan luar biasanya dalam bidang perubatan dan khidmat kepada komuniti.


Pakar kanser ‘tiga negara’, anak jati George Town

Menyusuri profil tokoh berusia 46 tahun ini, beliau merupakan anak jati kelahiran George Town yang memiliki rekod pencapaian cemerlang dan jarang ditemui.

Beliau merupakan satu-satunya pakar kanser di Pulau Pinang yang memiliki kelayakan profesional daripada tiga negara, iaitu United Kingdom (UK), Ireland dan Malaysia.

Malah, pada tahun lalu, anak watan Pulau Mutiara ini turut diiktiraf sebagai satu-satunya penerima fellowship dalam bidang kanser daripada Sultan Perak.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur apabila dipilih sebagai penerima pertama (gelaran Dato’ Seri) pada hari ini.

“Latar belakang saya adalah dalam bidang perubatan dan saya merupakan seorang doktor pakar kanser.

“Alhamdulillah, saya diberkati dengan kepakaran ini untuk terus merawat pesakit kanser di negeri ini,” katanya kepada Buletin Mutiara sejurus istiadat berkenaan di Dewan Sri Pinang pada tengah hari tadi.

 

20 tahun berbakti, aktif dalam sektor korporat dan keagamaan

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perubatan, sumbangan Dr. Mohamed Amir Shah tidak hanya terhad kepada tugas merawat pesakit di hospital semata-mata.

Beliau turut dikenali sebagai figura yang aktif dalam pelbagai program kebajikan masyarakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Antara penglibatan awal beliau dalam aktiviti kemasyarakatan adalah menerusi Islamic Propagation Society International (IPSI).

Selain itu, beliau turut diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab dalam institusi negeri apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga di bawah portfolio zakat dan Ahli Syura di bawah kepimpinan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Bagi beliau, penganugerahan Darjah Kebesaran tersebut bukan sekadar suatu penghormatan, malah menjadi pemangkin semangat untuk terus menyumbang kepada komuniti dan rakyat Pulau Pinang.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Mohamed Amir Shah atas pengiktirafan yang cukup bermakna ini.

Buletin Mutiara dimaklumkan bahawa seramai 314 individu menerima pelbagai darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri pada hari ini.

Isteri TYT, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah; Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan isteri serta barisan Exco Kerajaan Negeri turut hadir pada istiadat berkenaan.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB