MOF: Pulihara infrastruktur uzur Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior akan diberi keutamaan

Admin

SUNGAI DUA – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa bahawa Kerajaan Persekutuan dahulu mengabaikan infrastruktur sekolah-sekolah lama, walaupun ada projek pemajuan sekolah-sekolah baharu di tanah air ini.

Akibatnya, menurut beliau, ada kes sebagaimana dihadapi oleh murid-murid dan para guru Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior, iaitu masalah bumbung bangunan sekolah yang diserang dek anai-anak.

“(Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior) ini bukan satu-satunya sekolah yang saya pergi, ada banyak lagi, keadaan uzur dan usang, begitu menyedihkan sekali.

“Tapi, kita (Kerajaan Pakatan Harapan Persekutuan) tetap akan berusaha…masalah 15 tahun tak dapat kita selesaikan dalam sekelip mata, tapi kita akan beri keutamaan.

“Takkan saya nak minta daripada mereka (Kementerian Pendidikan), maka, saya akan mencari peruntukan sendiri, tengok macam mana kita nak selesaikan masalah kritikal ini,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan ketika melawat sekolah berkenaan di sini pada 16 Jun 2019.

Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; ADUN Bagan Dalam, M. Satees dan bekas Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Lim Hock Seng turut sertai lawatan kerja itu.

Hadir sama, Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Zulkifli Rashid dan Pegawai Pendidikan Daerah, Masri Abdullah.

Sebelum itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior, Rozaini Othman ketika menyampaikan ucapan alu-aluan merakamkan penghargaan atas lawatan kerja Guan Eng untuk melihat sendiri keadaan infrastruktur serta kemudahan di sekolah berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD