Rumah terbuka Aidilfitri KADUN Perai tampil kelainan, beri peluang penduduk tempatan raih pendapatan

Admin

PERAI – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai berlangsung meriah dengan dihadiri lebih 2000 pengunjung.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, penganjuran majlis rumah terbuka pada tahun ini menampilkan sedikit kelainan kerana diadakan di kawasan hijau bersebelahan Tasek Prima ekoran penutupan Pasaraya Giant baru-baru ini.

“Selain itu, pada penganjuran sebelum ini, makanan untuk pemgunjung dibekalkan oleh satu agensi sahaja, namun kali ini kita (KADUN Perai) turut membuka peluang perniagaan kepada penduduk setempat.

“Ada gerai aiskrim, sate, ayam bakar, ketupat dan banyak lagi diusahakan penduduk di sini dan ia merupakan satu konsep dan langkah baik supaya penduduk tempatan juga dapat meraih sedikit keuntungan,” katanya kepada Buletin Mutiara pada program berkenaan, semalam.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berharap konsep (penjualan makanan oleh penduduk) tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan dalam membantu golongan B40 dapat menjana pendapatan.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN