Mohd. Bazid angkat sumpah sebagai CEO PDC

Admin

GEORGE TOWN – Dato’ Mohd. Bazid Abd. Kahar yang dilantik semula hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk tempoh setahun.

Upacara angkat sumpah dan melafazkan ikrar aku janji tersebut disempurnakan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Pada kesempatan tersebut, Kon Yeow menzahirkan harapan agar strategi pembangunan yang telah digariskan Mohd. Bazid untuk menjenama serta mentransformasikan PDC dapat dicapai dalam tempoh perkhidmatan beliau.

“Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan PDC, beliau telah menggariskan strategi pembangunan untuk mentransformasikan PDC ke arah hala tuju yang lebih baik.

“Harapan saya adalah agar misi serta visi ini dapat dicapai dengan turut sama menyeru seluruh warga kerja PDC agar memberikan sokongan penuh kepada beliau untuk mencapai matlamat-matlamat ini,” ujarnya yang turut menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Mohd. Bazid dalam menerajui PDC.

Bagi Mohd. Bazid sendiri, beliau melahirkan rasa bangga serta terharu di atas pelantikan semula tersebut dan menyifatkan kepercayaan itu sebagai satu amanah serta tanggungjawab yang perlu digalas sebaik mungkin.

“Saya akan cuba yang terbaik, setahun lalu sejak memegang tampuk pentadbiran PDC, saya telah berusaha sebaik mungkin dengan menghasilkan satu pelan strategi untuk hala tuju PDC bagi tempoh 2019 sehingga 2030.

“Saya berhasrat untuk menukar budaya kerja sedia ada kepada berbentuk korporat, jika budaya kerja ini dapat dicapai, maka PDC akan kembali kepada zaman kegemilangannya,” ulas beliau.

Mohd. Bazid dilantik menerajui PDC pada 19 Februari 2019 bagi menggantikan Dato’ Seri Ar. Rosli Jaafar yang bersara tetap.

Tahniah dan selamat menyambut hari kelahiran yang ke-61!

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOR SITI NABILAH NORAZIS