MoT diminta dahulukan kajian NASP libatkan lapangan terbang wilayah utara

Admin

GEORGE TOWN – Kementerian Pengangkutan (MoT) diminta supaya mendahulukan Kajian National Airport Strategic Plan (NASP) melibatkan cadangan pembinaan dan penaiktarafan lapangan terbang di wilayah utara.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa beliau telah membangkitkan perkara itu pada mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) pada 13 Ogos lalu.

“Jika hendak menunggu kajian sampai tahun 2023 baru akan siap, jadi kita cadang fungsi kajian ini boleh dimulakan bagi lapangan terbang di wilayah utara seperti Pulau Pinang, Kedah dan Langkawi.

“Ini adalah bagi membolehkan keputusan boleh dibuat lebih awal berdasarkan hasil cadangan daripada kajian (NASP) tersebut,” katanya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Perdagangan & Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut mengesahkan bahawa cadangan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) masih belum diluluskan oleh MPFN.

“Kertas (cadangan) bagi projek ini ditarik balik atas permintaan Menteri Pengangkutan kerana Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan kajian NASP yang dijangka siap pada tahun 2023.

“(Dan) dalam tempoh ini kementerian tidak akan menimbang apa-apa projek lapangan terbang baharu mahupun projek menaik taraf lapangan terbang,” jelasnya.

Terdahulu, Kon Yeow turut menyuarakan pandangan agar rancangan projek pembesaran PIA dikecualikan daripada kajian NASP memandangkan kebenaran merancang bagi projek berkenaan telah diluluskan dan dijadualkan dilaksanakan pada tahun ini.

Beliau menyuarakan pandangan itu susulan jawapan dikemukakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Wee Ka Siong di Parlimen baru-bari ini yang menyatakan bahawa cadangan bagi menaik taraf PIA dan pembinaan KXP akan diputuskan selepas Kerajaan Pusat memuktamadkan kajian NASP pada 2023.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD