Mohd. Rashid kini ‘Imam Khalifah Negeri’ PSSPGM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

PENANTI – Pengasas merangkap Guru Utama Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM), Abdul Majid Mat Isa dalam satu istiadat persilatan baru-baru ini menganugerahkan sandang kebesaran kepada Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, yang membawa gelaran “Imam Khalifah Negeri”.

Mohd. Rashid dalam ucapannya merakamkan penghargaan atas anugerah tersebut serta berharap PSSPGM dapat menjadi benteng pertahanan ketiga pada Kerajaan Negeri dan tanah air ini.

“Aktiviti persilatan ini bukan sahaja menyihatkan badan, malah, memupuk kesedaran anak-anak kita untuk memartabatkan bangsa serta kembali hidup dengan cara Islam sebenar.

“Justeru, saya berharap PSSPGM akan terus menjadi benteng pertahanan ketiga selepas tentera dan polis, dalam memelihara
keamanan di negeri ini dan Malaysia,” ujarnya semasa merasmikan Bengkel Adat dan Majlis Penganugerahan Sandang Kebesaran PSSPGM di Madrasah An-Nahdhoh di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Abdul Majid yang lebih mesra dipanggil “Cikgu Majid” mengingatkan para pelatihnya supaya mendidik anak bangsa dengan pegangan agama yang sebenar.

Beliau turut meminta para pelatihnya menumpahkan taat setia kepada pemimpin negara dan negeri ini, selagimana mereka mentaati Allah dan Rasul-Nya.

“Jangan kita lupa tanggungjawab kita yang sebenar-benarnya, iaitu menghambakan diri kepada Allah dan Rasul.

“Taatilah pemimpin negara dan negeri ini tanpa berbelah bahagi, selagimana mereka taati Allah dan Rasul-Nya,” tegas Abdul Majid dalam ucapannya yang dilihat penuh istiadat itu.

Manakala, Pengasas Yayasan dan Madrasah An-Nahdhoh, Tuan Guru Ustaz Abdul Mutalib Maarof sendiri memimpin bacaan ‘doa selamat’ pada majlis istiadat tersebut.

Pada majlis sama, Mohd. Rashid turut menyaksikan “Cikgu Majid” menyampaikan sandang serta ijazah perguruan silat kepada beberapa pelatih terpilih.

Majlis tersebut turut diserikan dengan beberapa demonstrasi aksi tempur bersenjata membabitkan pelatih-pelatih sendiri.