Mohd. Shahdam menang perak, di luar jangkaan

MOHD. Shahdam Abdul Aziz

SERDANG, SELANGOR – Kudung pergelangan tangan kiri bukan alasan buat atlet muaythai Pulau Pinang, Mohd. Shahdam Abdul Aziz untuk berasa terpinggir daripada membabitkan diri dalam bidang sukan.

Malah pada petang tadi, ‘peninju istimewa’ berkenaan berjaya memenangi pingat perak bagi acara 45-48 kilogram (kg) lelaki dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20, yang berlangsung di South City Plaza di sini pada 21 September 2022.

MOHD. Shahdam Abdul Aziz (kiri sekali), Mohammad Rifdean Masdor (dua dari kiri) dan dua pemenang pingat lain berkongsi podium di sini tadi.

Mohd. Shahdam dalam saingan akhir tewas pada atlet negeri Perak, Mohammad Rifdean Masdor yang juga merupakan ‘juara dunia’ dan pemenang pingat emas kategori 48kg lelaki bawah 23 tahun dalam temasya Sukan SEA Hanoi pada awal bulan Jun lepas.

Semalam, skuad muaythai negeri Pulau Pinang turut membolot dua pingat gangsa lain melalui Nur Afiqah Alias (acara 45-48kg wanita) dan Muhamad Hakimi Nordin acara 54-57kg lelaki), menjadi keseluruhan sebanyak tiga pingat.

Jurulatih sambilan, Abdul Basri Mohd. Bohkhari memberitahu bahawa Persatuan Muaythai Pulau Pinang sebenarnya menyasarkan satu pingat sahaja dalam saingan SUKMA Ke-20 kali ini.

(Dari kiri) ABDUL Basri Mohd. Bohkhari, Mohd. Shahdam Abdul Aziz, Mohamad Hilme Ibrahim dan seorang pegawai sukan negeri lain dengan penuh bangga merakamkan gambar dengan bendera Pulau Pinang.
MOHAMAD Hilme Ibrahim

Sementara, Pengurus Pasukan, Mohamad Hilme Ibrahim pula memberitahu bahawa saingan serta rekod kejayaan Mohd. Shahdam pada tengah hari tadi memang di luar jangkaan persatuan.

“Sebenarnya persatuan menyasarkan satu pingat gangsa melalui (Mohd.) Shahdam, pada hari ini beliau melepasi sasaran dan berjaya mendapat perak.

“Ini kerana, kejayaan (Mohd.) Shahdam merangkul pingat perak ini memang di luar jangkaan kita (Persatuan Muaythai Pulau Pinang) kerana beliau bakal berdepan dengan jaguh dan ‘juara dunia’ (Mohammad Rifdean).

“Dua atlet lain yang memenangi gangsa turut melepasi sasaran pingat,” jelasnya.

Buletin Mutiara difahamkan, Mohd. Shahdam, 18, kudung jari pergelangan tangan kiri sejak berusia lima tahun kerana dikisar mesin air tebu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI